PUTRAJAYA, 15 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), khususnya dalam mengendalikan kes berprofil tinggi, berskala besar dan berkepentingan awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata bahawa kes seumpama itu akan terus dirujuk kepada AGC sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab menentukan tindakan undang-undang berhubung siasatan yang dijalankan oleh agensi anti-rasuah itu.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk memimpin, memperbaharui dan memperkukuh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar semalam.
Kunjungan itu merupakan penglibatan rasmi pertama Abd Halim sejak memegang jawatan pada 13 Mei lalu.
Sementara itu, Mohd Dusuki menyatakan penghargaan atas keputusan Abd Halim untuk menjadikan AGC sebagai kunjungan hormat pertamanya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
“AGC dan SPRM tidak boleh dipisahkan. Kerjasama antara kita akan diteruskan,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin, dan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud. — Bernama



