Kebocoran Dokumen Pemberi Maklumat Boleh Jejaskan Siasatan
Kebocoran Dokumen Pemberi Maklumat Boleh Jejaskan Siasatan

Kebocoran Dokumen Pemberi Maklumat Boleh Jejaskan Siasatan

PETALING JAYA: Pendedahan tanpa kebenaran dokumen berkaitan pemberi maklumat boleh menjejaskan siasatan dan mendedahkan individu terbabit kepada risiko keselamatan, menurut seorang pengamal undang-undang.

Peguam, J Shamesh, berkata tindakan itu membawa implikasi undang-undang serius kerana Seksyen 10 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat menyatakan bahawa mendedahkan maklumat berkaitan pemberi maklumat tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan.

Menurutnya, kebocoran dokumen sulit melanggar kewajipan kerahsiaan, malah berpotensi merumitkan prosiding litigasi dan penguatkuasaan kerana boleh menjejaskan integriti proses pengendalian bukti.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Siasatan boleh terganggu apabila kebocoran maklumat memberi amaran awal kepada suspek, sekali gus berpotensi menjejaskan proses pengumpulan, pemeliharaan dan kebolehterimaan bukti.

“Perlindungan terhadap maklumat pemberi maklumat amat penting bagi memastikan individu tampil menyalurkan maklumat tanpa rasa takut terhadap tindakan balas, selain membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan berkesan,” menurut kenyataan.

Isu perlindungan pemberi maklumat kembali menjadi perhatian ketika kerajaan dijangka membentangkan pindaan akta berkaitan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lalu dilaporkan berkata, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat itu penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalah guna. Ia khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Shamesh berkata kebocoran boleh memberi kesan buruk kepada pemberi maklumat, termasuk menjejaskan kerjaya dan reputasi, selain berdepan ugutan, gangguan serta ancaman terhadap keselamatan diri.

“Pemberi maklumat yang percaya identiti mereka atau dokumen sulit yang diserahkan kepada pihak berkuasa telah didedahkan tidak kehilangan hak untuk mendapatkan remedi undang-undang.

“Mereka boleh membuat laporan polis, memulakan tindakan sivil bagi menuntut pampasan atas kerugian yang timbul akibat kebocoran tersebut, serta memohon injunksi untuk menghalang penyebaran lanjut maklumat sulit atau pendedahan identiti mereka,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga