JAS kekang akses muat turun laporan EIA demi keselamatan
PUTRAJAYA, 15 Mei — Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) penuh tidak lagi boleh dimuat turun secara terbuka bagi melindungi pemilikan, hak cipta, keselamatan maklumat dan kepentingan keselamatan negara, menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini.
JAS menjelaskan bahawa laporan EIA biasanya mengandungi maklumat teknikal terperinci, termasuk data mengenai lokasi strategik, infrastruktur kritikal, pelan pembangunan, koordinat tapak dan bahan sensitif lain yang memerlukan akses terkawal.
Langkah ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, peraturan berkaitan serta prosedur operasi yang ditetapkan oleh JAS.
Bagaimanapun, JAS menegaskan bahawa laporan EIA masih boleh diakses sepenuhnya sama ada dalam talian atau secara fizikal di lokasi yang ditetapkan sepanjang tempoh semakan yang ditetapkan bagi membolehkan penelitian dan maklum balas awam semasa proses penilaian.
JAS menambah bahawa akses kepada Ringkasan Eksekutif laporan EIA untuk rujukan awam disediakan melalui platform yang ditetapkan berdasarkan permohonan yang dikemukakan.
“Pendekatan ini bertujuan mengimbangi akses awam kepada maklumat dengan perlindungan dokumen teknikal, sambil memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan kepentingan keselamatan negara,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan mengenai tahap ketelusan dan akses awam terhadap laporan EIA yang diuruskan oleh JAS.
Laporan itu mendakwa pangkalan data EIA jabatan tersebut kadangkala tidak boleh diakses dan butiran penting, termasuk maklumat mengenai klasifikasi jadual laporan EIA tertentu, tidak lagi tersedia.
— Bernama



