Seorang guru lelaki berusia lingkungan 30-an telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan seksual fizikal melibatkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun, menurut polis.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan berkuat kuasa dari hari ini sehingga 21 Jun, lapor BuletinTV3.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, satu laporan telah dibuat oleh mangsa pada jam 9.38 pagi semalam.
Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku pada 4 Jun kira-kira jam 8 pagi di dalam sebuah hotel di Kuala Terengganu.
“Siasatan awal mendapati suspek dikenali oleh mangsa dan pernah menjadi gurunya di sekolah rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan laporan itu, polis menahan suspek untuk membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a), 14(d) dan 15B(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, ACP Azli berkata polis di Kuala Terengganu membuka empat kertas siasatan melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak antara 1 Jun dan 14 Jun.
Beliau juga menggesa ibu bapa mendidik anak-anak awal tentang kesedaran gangguan seksual dan memantau pergerakan mereka dengan rapi untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa.
“Pelajar dan ibu bapa mesti berani tampil ke hadapan untuk mendedahkan perbuatan keji seperti ini dan tidak berdiam diri kerana malu atau takut,” katanya.



