Enam pemimpin Negeri Sembilan saman sidang DKU kontroversi
Enam pemimpin NS saman sidang DKU kontroversi

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Datuk Mubarak Thahak dan lima individu lain telah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan minit mesyuarat sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang diadakan pada 17 April.

Lima plaintif lain ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Mereka memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban semalam melalui Tetuan Deidra Sharina & Co, menamakan setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin, DKU, dan kerajaan negeri Negeri Sembilan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Mubarak sebelum ini dilaporkan telah disingkirkan daripada jawatannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media semalam, keenam-enam plaintif memohon deklarasi bahawa sebagai anggota DKU, mereka berhak mendapat salinan minit mesyuarat sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti.

Mereka juga memohon perintah supaya minit mesyuarat tersebut diberikan dalam tempoh tujuh hari selepas keputusan mahkamah.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan sebarang keputusan yang dibuat dalam sidang khas DKU pada 17 April sehingga minit disediakan dan diberikan kepada mereka, serta meminta kos, relief, atau perintah lain yang difikirkan adil oleh mahkamah.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan pada 16 April, Muhammed menyatakan bahawa beliau, plaintif kedua, kelima dan keenam, telah menerima surat jemputan daripada defendan kedua bertarikh 15 April untuk menghadiri sidang khas DKU pada keesokan harinya di Istana Besar Seri Menanti.

Muhammed, plaintif ketiga, menyatakan bahawa jemputan itu menyimpang daripada prosedur biasa DKU, kerana notis biasanya dikeluarkan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal untuk membolehkan anggota menyesuaikan jadual rasmi mereka.

Beliau berkata surat jemputan itu menyatakan bahawa sidang dipanggil untuk mendengar aduan daripada Undang Luak Sungei Ujong berkenaan dirinya.

“Kami menegaskan bahawa pada kali ini, tiada agenda mesyuarat disertakan bersama surat jemputan bertarikh 17 April 2026, yang ditandatangani oleh defendan pertama sebagai setiausaha DKU.

“Biasanya, nota dan minit mesyuarat DKU yang lalu juga akan diberikan kepada anggota sekurang-kurangnya tiga hari sebelum mesyuarat untuk membolehkan anggota membuat persiapan rapi.

“Walaupun panggilan menghadiri mesyuarat khas DKU ini adalah segera, kami menyatakan bahawa sekurang-kurangnya agenda patut disediakan dan dikemukakan oleh DKU kepada semua anggota terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, Muhammed berkata plaintif pertama dan keempat tidak menerima sebarang surat jemputan daripada defendan kedua untuk menghadiri sidang tersebut. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga