KUALA LUMPUR, 28 Mei — Empat lelaki tempatan ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melarikan diri dari sebuah kereta peronda polis dari Kota Damansara ke Air Panas di sini awal pagi tadi.
Kejadian bermula di Kota Damansara
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian bermula pada pukul 2.23 pagi apabila anggota kereta peronda polis cuba memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey berwarna hitam.
Beliau berkata, semasa kejadian, kenderaan yang membawa semua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di Persiaran Industri Kota Damansara berhampiran sebuah stesen minyak.
“Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan berbuat demikian. Sebaliknya, mereka melarikan diri dan memandu secara agresif ke arah pusat bandar.
“Tindakan pantas polis, bagaimanapun, berjaya memintas kenderaan itu di Jalan Air Jernih, Air Panas, Kuala Lumpur sebelum menahan keempat-empat suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rampasan peralatan mencuri
Shamsudin berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri dan memecah masuk rumah.
Antara barang yang dirampas termasuk sebilah parang, pahat, pemotong besi, cakar kambing, pemutar skru dan ratchet.
Latar belakang suspek
Mengulas mengenai latar belakang suspek yang berusia lingkungan 30-an, beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka mempunyai antara 15 hingga 19 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan, dengan tiga daripada mereka disenaraikan sebagai individu dikehendaki.
Beliau berkata, semua suspek direman selama dua hari sehingga esok dan kes itu disiasat, antara lain, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Menyinggung 1958. — Bernama



