Empat buruh didakwa bunuh dan buang mayat pemuda OKU
Empat buruh didakwa bunuh, buang mayat pemuda OKU

PETALING JAYA: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Binjai pada 13 April lalu. Tertuduh yang juga buruh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, menurut laporan media tempatan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Butiran Pertuduhan Bunuh

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, di Kampung Binjai, Banggu, pada jam 11 malam, 13 April lalu. Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan. Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli mengendalikan pendakwaan dan tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 6 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tuduhan Membuang Mayat

Di Mahkamah Sesyen, Hakim Zikrullah dan Eerman Daniel bersama dua rakan mereka iaitu Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, turut didakwa atas pertuduhan mengetahui pembunuhan membabitkan mangsa yang sama selain membuang mayat di tepi jalan pada 14 April lalu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Berdasarkan pertuduhan, mereka dituduh secara bersama mengetahui kesalahan bunuh membabitkan mangsa, Zakir Fikry, dan membuang mayat mangsa di tepi jalan dengan niat untuk mengelakkan Hakim Zikrullah dan Eerman Daniel daripada dikenakan hukuman undang-undang. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok, pada 14 April lalu. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga