Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang bekas pelajar politeknik daripada tuduhan mengedar lebih daripada 3kg ganja dua tahun lalu.
Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Harith Izzuddin Hanizam, 23.
Hakim mendapati keterangan saksi keempat pendakwaan, seorang pegawai polis, tidak boleh dipercayai. Beliau berkata pihak pendakwaan terlalu bergantung kepada keterangan saksi tersebut untuk membuktikan elemen pemilikan, tetapi keterangannya “penuh dengan kecurigaan” kerana dia tidak jujur tentang apa yang berlaku selepas Harith dan barang bukti ganja dibawa balik ke balai polis selepas tangkapan.
Azhar menyatakan bahawa saksi tersebut mendakwa dia berada di balai polis sepanjang masa untuk menyoal tertuduh, tetapi laporan pegawai penyiasat menunjukkan sebaliknya.
“Saya mendapati saksi keempat pendakwaan bukan saksi yang boleh dipercayai dan oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan.
“Tanpa bukti elemen ini, anggapan pengedaran tidak timbul, dan dalam kes ini, tiada bukti langsung dikemukakan untuk membuktikan bahawa pengedaran telah berlaku.
“Sehubungan itu, saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Tertuduh dengan ini dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan,” katanya.
Harith didakwa mengedar kira-kira 3.4kg ganja di lobi sebuah hotel di Jalan Kuching, Sentul di sini pada 26 Februari 2024.
Tuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan rotan jika sabit kesalahan.
Lima saksi pendakwaan memberi keterangan semasa perbicaraan. Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah hadir untuk pihak pendakwaan, manakala peguam Geethan Ram Vincent mewakili Harith.



