Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang bekas pengawal kelab malam, Jamsari Idris, selepas didapati bersalah memukul seorang lelaki sehingga buta mata kanan di sebuah kelab malam di Dang Wangi kira-kira 10 tahun lalu.
Hukuman penjara bermula hari ini
Hakim Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Butiran pertuduhan
Mengikut pertuduhan, Jamsari, 53, didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Muhammad Ramdhan Aidil Norsham, 28, di sebuah kelab malam di Dang Wangi pada 3.30 pagi 6 November 2016. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mazuliana ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah menolak hujahan pembelaan berhubung kegagalan mangsa menamakan tertuduh dalam laporan polis kerana pengecaman terhadap tertuduh sebagai individu yang menumbuk mangsa tidak diragui.
Menurutnya, keterangan membela diri tertuduh yang mendakwa cuba menenangkan mangsa dalam kejadian itu juga tidak munasabah. “Semasa pemeriksaan balas, tertuduh gagal memperincikan bagaimana beliau cuba menenangkan mangsa dan hanya menjawab ‘tidak tahu’, selain mengakui tiada bukti sokongan bagi menyangkal dakwaan beliau memukul mangsa.
“Mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata tanpa penjelasan munasabah dan bukan satu pembelaan yang sah di sisi undang-undang,” kata hakim.
Kesan kehilangan penglihatan
Terdahulu, mahkamah mendengar dan mempertimbangkan Pernyataan Impak Mangsa yang memperincikan kesukaran dialami Ramdhan selepas kehilangan penglihatan, termasuk ketidakupayaan memegang gelas tanpa menjatuhkannya, selain tidak lagi mampu menunggang motosikal dan memandu kereta seperti sebelum ini.
“Selepas kejadian itu, kehidupan saya terjejas. Saya pernah terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang ditunggang melanggar lubang sehingga menyebabkan tiga jari kaki patah.
“Saya juga diberhentikan kerja dan cuba memohon pekerjaan di 12 syarikat, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Saya kemudian membuka gerai nasi lemak bersama isteri dan memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, selain menerima bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya perlu mencari pendapatan tambahan kerana menanggung isteri, tiga anak serta ibu bapa,” katanya sambil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Perwakilan pihak
Pada prosiding hari ini, Jamsari diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur.



