Ahli perniagaan Singapura 77 tahun dibicarakan dera anak setiausaha sejak 14 tahun
Ahli perniagaan 77 tahun dibicarakan dera anak setiausaha

SINGAPURA, 21 Julai — Seorang ejen insurans dan pemilik perniagaan Singapura berusia 77 tahun mula dibicarakan pada Isnin atas 10 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap anak perempuan setiausahanya yang telah meninggal dunia, yang mula digroomingnya ketika mangsa baru berusia 14 tahun.

Tertuduh hadapi 10 pertuduhan

Lelaki itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti mangsa, menghadapi pertuduhan melakukan perbuatan lucah dan penembusan seksual terhadap seorang kanak-kanak di bawah umur antara 14 dan 16 tahun. Menurut laporan The Straits Times, jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi pertuduhan penembusan, serta penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga S$10,000 (kira-kira RM33,000) bagi setiap pertuduhan perbuatan lucah.

Penderaan bermula pada 2012

Menurut pihak pendakwaan, penderaan bermula pada 2012 apabila lelaki itu — yang ketika itu berusia 64 tahun — mengambil alih sebagai penjaga kepada remaja perempuan itu dan adik perempuannya selepas ibu mereka, iaitu setiausahanya, disahkan menghidap kanser payudara. Tertuduh dilaporkan merupakan rakan keluarga yang dipercayai dan bahkan membenarkan keluarga itu tinggal percuma di salah satu hartanya selama kira-kira setahun, sambil kerap menghantar dan mengambil gadis-gadis itu dari sekolah dan kelas tuisyen.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendakwaan menyatakan lelaki itu menggunakan akses ini untuk mengasingkan mangsa, dengan kononnya berbohong bahawa dia hanya berusia 40 tahun dan memberitahu mangsa bahawa bapanya — yang sibuk dengan kerja pada masa itu — adalah “orang jahat,” sehingga menyebabkan perpecahan antara mangsa dan keluarganya.

Penderaan semakin meningkat

Dokumen mahkamah yang dipetik dalam hujah pembukaan menggambarkan bagaimana penderaan meningkat secara berperingkat. Pada 2012, semasa mangsa berada di Tingkatan 2, tertuduh didakwa memegang tangannya di dalam kereta selepas mengambilnya dari sekolah. Kemudian pada tahun yang sama, dia dilaporkan memandu mangsa ke kawasan takungan Mandai dan menciumnya — kedua-dua kali, kata pendakwaan, mangsa tidak melawan walaupun berasa tidak selesa.

Pendakwaan berkata dia terus bertukar-tukar mesej teks dengan mangsa dan membawanya keluar makan, sebelum meningkat kepada serangan seksual setelah mangsa menjadi “kebal” terhadap sentuhan fizikal tersebut.

Mangsa mengandung dan digugurkan

Pendakwaan mendakwa lelaki itu menyerang mangsa secara seksual beberapa kali antara 2012 dan 2013, ketika mangsa berusia bawah 16 tahun, dan meneruskan penderaan selepas mangsa berusia 16 tahun pada 2014. Pada awal 2015, ketika mangsa berada di junior college — bersamaan dengan Tingkatan Enam atau program pra-universiti di Malaysia — dia hamil. Dia menjalani pengguguran pada Februari tahun itu, ditemani oleh tertuduh. Tiada ujian paterniti dijalankan pada masa itu, menurut dokumen mahkamah.

Mangsa buat laporan polis

Mangsa, kini berusia 27 tahun, menamatkan hubungan itu pada akhir 2017 dan membuat laporan polis pada Ogos 2019. Dia merupakan saksi pertama pihak pendakwaan apabila perbicaraan dibuka pada Isnin, walaupun perbicaraan itu ditutup kepada orang ramai dan media. Pendakwaan berkata ia bercadang untuk memanggil lima saksi secara keseluruhan, termasuk mangsa dan ibunya. Perbicaraan bersambung pada Selasa.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga