Empat sekeluarga yang tinggal dalam khemah di kebun kelapa sawit Jalan Perepat, Telok Panglima Garang, Kuala Langat ditahan selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemui sarang penyalahgunaan dadah. Ketua Polis Kuala Langat, Akmalrizal Radzi, berkata dua wanita dan dua lelaki berusia 30-an hingga 50-an yang juga pasangan suami isteri serta anak dan menantu ditahan Khamis lalu.
Dakwaan di mahkamah
Beliau berkata, semuanya didakwa di Mahkamah Telok Datok mengikut Seksyen 12 (3) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 keesokannya. “Wanita berusia 30-an yang dipercayai menerima bantuan zakat, berasal dari Pulau Carey, Telok Panglima Garang,” katanya menurut Harian Metro.
Operasi skuad zakat
Terdahulu, hasrat Skuad Saidina Umar Zakat Selangor menyantuni seorang saudara baharu dipercayai hidup dalam keadaan daif membongkar sebuah penempatan dalam kebun kelapa sawit menjadi lokasi disyaki penyalahgunaan dadah. LZS berkata, skuad itu menerima maklumat daripada Pusat Perlindungan Mualaf (Baitul Salam) Zakat Selangor mengenai seorang wanita saudara baharu yang tinggal bersama beberapa individu di sebuah khemah tanpa bekalan air dan elektrik.
“Namun, sebaik sahaja pasukan kami tiba di lokasi, mereka melarikan diri dan bersembunyi di sekitar kawasan gelap ladang kelapa sawit. Lebih 30 minit kami berusaha memujuk mereka agar memberikan kerjasama. “Ketika pemeriksaan di kawasan khemah dijalankan, pasukan menemui beberapa barangan terlarang. “Operasi kemudiannya ditamatkan kerana perkara tersebut berada di luar bidang kuasa kami sebagai agensi yang menawarkan bantuan kebajikan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah skuad itu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.



