KUALA LUMPUR, 6 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pemindahan 19 pegawai kanan yang membabitkan pelbagai jawatan di Bukit Aman dan kontinjen negeri.
Butiran Pemindahan
Setiausaha PDRM Datuk Abdul Rahman Kassim berkata, pemindahan itu melibatkan pegawai kanan dari beberapa jabatan termasuk Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Logistik dan Teknologi, serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
Beliau berkata, Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri telah dilantik sebagai Pengarah JKDNKA Bukit Aman dengan gred pemangku VU5 (JUSA A), manakala Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman (Kemudahan/Bekalan/Aset) SAC Zakaria Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) jabatan yang sama dengan pangkat pemangku DCP.
“Penolong Pengarah Kanan Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman (Pengangkutan) SAC Zulkifli Abu Bakar telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Kemudahan/Bekalan/Aset) jabatan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Rahman berkata, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris telah dilantik sebagai Ketua JPJKK Pulau Pinang dengan pangkat pemangku SAC, manakala Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kemudahan/Bekalan/Aset Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman (Pusat Bekalan Polis) ACP Amran Ab Rashid telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan (Pengangkutan) Bahagian Teknikal/Operasi jabatan yang sama dengan pangkat pemangku SAC.
Selain itu, Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman (Siasatan Jenayah Kewangan/Bank/Koperasi/Insurans) ACP Lim Chee Wah telah dilantik sebagai Ketua Sekretariat (Perundangan) Ketua Polis Negara PDRM dengan pangkat pemangku SAC.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan Pengurusan (Pentadbiran) di Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan pangkat pemangku SAC.
Abdul Rahman berkata, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Johor dengan pangkat pemangku SAC, manakala Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S.Vijaya Rao telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan (Operasi Pencegahan) di JPJKK Bukit Aman dengan pangkat pemangku SAC.
“Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman (Perisikan) Zon II ACP Mohd Taufik Maidin telah dilantik sebagai Ketua JKDNKA Perak dengan pangkat pemangku SAC, manakala Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Anak Embol telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Utara,” katanya.
Beliau menambah, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah dengan pangkat pemangku ACP.
Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Gombak manakala Ketua Polis Daerah Selama Superintenden Sarudin Samah telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam, kedua-duanya dengan pangkat pemangku ACP.
“Turut terlibat ialah Timbalan Ketua JPJKK Kontinjen Kelantan (Operasi Pencegahan/Analisis Data/Penyelarasan Sumber Sokongan) Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, yang telah dilantik sebagai Ketua JPJKK Kontinjen Kelantan dengan pangkat pemangku ACP,” katanya.
Beliau menambah, Penolong Pengarah Kanan (Kawalan Trafik) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Superintenden Mohd Yatim Osman telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seremban dengan pangkat pemangku ACP.
“Selain itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Samarahan.
“Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Selangor (Pematuhan Standard) Superintenden M Manimaran telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Selangor manakala Pegawai Memerintah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 2 Johor Bahru, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Setiu,” katanya. — Bernama



