CEO PSM didakwa rasuah RM1.45 juta berkaitan tender Pusat Skuasy
CEO PSM didakwa rasuah RM1.45 juta berkaitan tender

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah melibatkan RM1.45 juta berhubung tender bernilai RM8.7 juta untuk menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Iliyas Jamil, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan RM1 juta untuk dirinya daripada Yap Yeow Kuen, 60, di pejabat PSM, Aras 2, Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Sri Petaling di sini, pada 24 Februari.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Wang itu adalah sebagai rasuah untuk tertuduh bersetuju memilih Aerolux Power Constructions Sdn Bhd, untuk memenangi tender bagi Menaik Taraf Kemudahan Gelanggang & Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil di sini, bernilai RM8,733,197.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga