SPRM Siasat Dakwaan Aset Mewah USD13 Juta Dikaitkan dengan 1MDB
SPRM Siasat Dakwaan Aset Mewah USD13 Juta Dikait 1MDB

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah di luar negara dianggarkan bernilai USD13 juta (kira-kira RM59 juta), yang dipercayai berkaitan hasil aktiviti haram dana 1MDB.

Operasi Agam dan Skop Siasatan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata siasatan menerusi Ops Agam itu bermula pada 15 Jun lepas, bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Beliau berkata fokus siasatan merangkumi aspek mengesan kewujudan unsur rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram serta tindakan pemulihan aset berkenaan.

Kerjasama Antarabangsa

“SPRM kini sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara, bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai pemilikan serta pergerakan aset yang disiasat,” katanya pada sidang media. Abd Halim berkata antara agensi itu ialah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat (AS), bagi memperoleh maklumat komprehensif berhubung hartanah mewah tersebut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Status Siasatan dan Pemanggilan Saksi

Mengenai status pemilikan hartanah mewah berkenaan, Abd Halim memaklumkan siasatan masih pada peringkat awal dan beberapa perkara perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Dalam pada itu, beliau berkata SPRM bersikap terbuka dan tidak menetapkan sebarang batasan dalam memanggil mana-mana individu, sekiranya mempunyai kaitan atau relevan dengan kes berkenaan. “Sesiapa sahaja akan dan bakal dipanggil seandainya individu itu mempunyai kaitan dan relevan di dalam proses penyiasatan pihak kami,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada SPRM akan memanggil isteri kepada seorang bekas perdana menteri.

Kerjasama dengan Polis

Ditanya mengenai pertukaran maklumat dengan polis yang dilaporkan turut menyiasat perkara itu, Abd Halim berkata kedua-dua agensi berkenaan ketika ini bergerak secara bebas mengikut bidang kuasa masing-masing. Sebelum ini, polis menerima tiga laporan dan membuka siasatan terhadap dakwaan pembelian atau pembiayaan hartanah di New Jersey, AS itu.

Kes Jho Low Masih Dibuka

Sementara itu, Abd Halim menegaskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low tidak pernah ditutup dan masih lagi diteruskan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga