SPRM beku akaun bank Cropmate Bhd
PETALING JAYA: Beberapa akaun bank pengeluar baja, Cropmate Bhd dan anak syarikatnya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Cropmate dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ia dimaklumkan pada 24 April lalu bahawa akaun tersebut dibekukan di bawah Seksyen 44(1) akta berkenaan. Berdasarkan maklumat sedia ada, syarikat itu berkata tiada petunjuk bahawa perkara itu membabitkan sebarang salah laku oleh pihak pengurusan atau kakitangannya.
“Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyokong sepenuhnya proses siasatan,” kata lembaga pengarah Cropmate. “Perniagaan kami kekal stabil dan pelanggan serta rakan kongsi kami tidak terjejas. Operasi diteruskan seperti biasa, disokong oleh pengaturan perbankan sedia ada dan kami kekal fokus untuk memberikan nilai kepada pihak berkepentingan.”
Jelasnya, syarikat itu telah mengambil langkah untuk memudahkan akaunnya dinyahbekukan. “Cropmate sentiasa menjalankan perniagaan dengan mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan, serta tidak menyedari sebarang salah laku.”
Tambahnya, pembekuan akaun itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan atau operasi kumpulan. Syarikat itu kekal optimis dan akan terus bekerjasama dengan SPRM bagi menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.



