Dua wanita di Pahang rugi RM1.4 juta ditipu sindiket telefon
Dua wanita Pahang rugi RM1.4 juta ditipu sindiket telefon

KUANTAN, 28 April — Dua wanita di Pahang mengalami kerugian berjumlah RM1.4 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan insurans.

Kes pertama melibatkan guru bersara

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kes pertama membabitkan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun yang merupakan guru bersara di Kuantan. Mangsa menerima panggilan telefon pada 6 September 2024 daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan bahawa dia didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan kad ATM kepada penjenayah.

“Untuk menipu mangsa, suspek mengarahkan wanita itu membuat akuan bersumpah dan laporan polis melalui panggilan telefon serta merakam suara mangsa sebagai pengakuan. Mangsa kemudian diancam dengan dua pilihan: sama ada ditangkap dan direman atau menyerahkan semua harta bendanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata mangsa telah membuat 122 transaksi pemindahan wang bernilai RM1.014 juta ke beberapa akaun bank dalam tempoh 6 September 2024 hingga 5 April tahun ini, selain diarahkan melapor enam kali sehari setiap tiga jam dan dilarang memaklumkan kepada mana-mana pihak mengenai perkara itu.

“Kerugian itu melibatkan simpanan peribadi, simpanan KWSP, hasil jualan rumah, dana persaraan, pinjaman peribadi, gadai janji barang kemas serta pelaburan dan simpanan lain milik mangsa,” katanya.

Kes kedua guru di Raub rugi RM431,000

Dalam kes kedua, Yahaya berkata seorang guru berusia 42 tahun di Raub mengalami kerugian RM431,000 selepas ditipu oleh sindiket yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans takaful dan pegawai polis pada 2 Februari. Mangsa didakwa dimaklumkan bahawa dia terlibat dalam kes tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 selain pengubahan wang haram dan rasuah.

“Mangsa diarahkan mengisytiharkan akaun banknya dan menukar nombor telefon untuk tujuan perbankan internet sebelum membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank di bawah kawalan suspek. Transaksi itu kononnya untuk tujuan pengurusan kes dan pembayaran jaminan mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya segera menyemak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan jika menerima panggilan mencurigakan, selain mengingatkan orang ramai untuk menyemak nombor akaun yang diterima melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga