Bekas pegawai Ikram didakwa salah guna kedudukan untuk suapan RM98 juta
Bekas pegawai Ikram didakwa salah guna kedudukan RM98 juta

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Cawangan Hulu Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98.27 juta.

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan hampir dua jam di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Butiran Pertuduhan

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-149, dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu anggota Ikram yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang, milik NGO itu telah menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM81.95 juta bagi sekutu tertuduh iaitu sebuah syarikat pengurusan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ia dengan mengambil tindakan mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana milik NGO itu ke akaun Maybank Islamic Cawangan Dataran Maybank milik syarikat yang tertuduh mempunyai kepentingan.

Pertuduhan ke-150 hingga ke-158, Fakhrudin didakwa atas pertuduhan sama dengan mengambil tindakan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik NGO itu ke dua akaun bank miliknya sendiri, berjumlah RM16.32 juta menerusi akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang dan Maybank Islamic Cawangan Bangsar Baru.

Tempat dan Tempoh Kesalahan

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor, Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Jaminan dan Sebutan Semula

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta minimum serta syarat lain. Peguam N Sivananthan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan 10 anak selain berdepan pembekuan akaun peribadi, serta aset syarikat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan bersama syarat tambahan dicadangkan pendakwaan termasuk serahan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Ogos ini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga