PRN Johor: Reformasi atau Kembali ke Bulatan Sama?
PRN Johor: Reformasi atau Kembali ke Bulatan Sama?

PRN Johor: Pertaruhan Reformasi dan Masa Depan Negara

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula dengan proses penamaan calon hari ini membawa persoalan besar: adakah negara akan meneruskan perjalanan pembaharuan atau kembali berpusing di bulatan yang sama? Menurut Ismail Yusop, felo kanan penyelidik di Jabatan Perdana Menteri, setiap peralihan undi membawa implikasi strategik yang tidak boleh dipandang ringan.

Demokrasi memberikan rakyat hak untuk menghukum kerajaan. Hak itu bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan, malah menjadi nadi kepada negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Namun demokrasi juga menuntut kebijaksanaan untuk membezakan antara menghukum kelemahan dengan menghentikan perjalanan yang masih belum selesai.

Reformasi Seperti Membaiki Rumah Usang

Bayangkan sebuah rumah yang telah lama usang. Atap bocor, tiang dimakan anai-anai dan dinding retak di sana sini. Setelah bertahun-tahun dibiarkan, akhirnya kerja-kerja membaik pulih dimulakan. Sudah tentu tidak semua bahagian rumah dapat disiapkan dalam sehari. Ada bunyi bising, ada debu dan ada kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh penghuni. Hari ini, adakah kerana tidak selesa seketika, kita memilih menghentikan kerja-kerja pembaikan sebelum rumah itu benar-benar siap?

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Demikianlah sifat reformasi. Reformasi ialah usaha membaiki asas yang telah lama rapuh, sama ada institusi, budaya pentadbiran, tatakelola mahupun sistem penyampaian. Kerja sebesar ini tidak pernah selesai dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan masa, kesabaran dan kestabilan politik. Malangnya, dalam politik, rakyat kadangkala menghukum tukang yang sedang membaiki rumah, sedangkan kerosakan rumah itu terkumpul selama berpuluh-puluh tahun.

Perjuangan Reformasi Berdekad Lamanya

Perjuangan reformasi di negara ini bermula sejak berdekad lalu. Ia lahir daripada tuntutan terhadap kebebasan institusi, integriti, keadilan dan tadbir urus yang lebih baik. Perjalanannya melalui pelbagai episod, termasuk kemenangan, kekalahan dan perpecahan. Namun cita-cita besarnya tetap sama, iaitu membina sebuah Malaysia yang lebih bermaruah, lebih telus dan lebih dihormati.

Sebab itu, PRN Johor tidak seharusnya dilihat sekadar pertandingan menentukan siapa yang menguasai Dewan Undangan Negeri. Yang lebih penting ialah kesannya terhadap kesinambungan agenda pembaharuan negara. Tidak dapat dinafikan masih ramai rakyat yang kecewa dan marah. Namun adakah setiap rasa kecewa perlu diterjemahkan dengan keputusan yang berisiko mengubah keseluruhan landskap politik?

Fenomena Pecahan Undi dan Implikasinya

Dalam politik, niat pengundi dan kesan sesuatu undi tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama. Fenomena 'vote splitting' atau pecahan undi telah lama dibincangkan dalam sains politik. Sesebuah parti tidak semestinya perlu menang untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya. Memadai jika ia menarik sebahagian sokongan daripada kelompok pengundi yang mempunyai kecenderungan yang sama, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak lain.

Dalam konteks PRN Johor, realiti inilah yang perlu difahami dengan matang. Kehadiran parti-parti baharu mungkin dilihat sebagai pilihan alternatif, namun dalam pertandingan yang sengit setiap peralihan undi membawa implikasi strategik yang tidak boleh dipandang ringan. Persoalannya bukan sama ada seseorang berhak menyokong mana-mana parti. Itu hak demokrasi yang tidak boleh dipertikai. Persoalannya ialah, apakah kesan daripada pilihan tersebut terhadap perjalanan reformasi yang sedang berlangsung?

Keputusan Bijak untuk Masa Depan

Jika benar matlamat kita ialah membina negara yang lebih telus, memperkukuh institusi dan mengangkat semula maruah Malaysia, maka kita perlu bertanya dengan jujur sama ada keputusan yang dibuat membantu mempercepatkan proses itu atau sebaliknya. Betul, tidak ada kerajaan yang sempurna. Kritikan perlu terus disuarakan dan kelemahan mesti diperbaiki. Namun reformasi juga memerlukan ruang untuk bernafas.

Janganlah kerana kita marah kepada tukang yang sedang membaiki rumah, akhirnya kita sendiri memilih untuk membakar rumah yang masih belum siap dibaiki. Kerana apabila api itu marak, yang hangus bukan sekadar tukangnya. Yang musnah ialah rumah yang kita semua diami bersama. Ismail Yusop adalah felo kanan penyelidik di Jabatan Perdana Menteri. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga