TEMPOH berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula hari ini dan dijangka tertumpu kepada beberapa kerusi panas yang membabitkan calon berprofil tinggi, penyandang serta kemunculan muka lama yang berpotensi mempengaruhi keputusan keseluruhan pada hari pengundian 11 Julai ini.
DUN Machap: Medan uji penerimaan terhadap Onn Hafiz
Antara kerusi paling mencuri perhatian ialah DUN Machap apabila Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Nur Hafiz Roslan, yang juga seorang peguam. Kawasan yang mempunyai 35,206 pemilih berdaftar itu dianggap sebagai medan menguji penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Onn Hafiz selepas empat tahun menerajui pentadbiran negeri.
DUN Puteri Wangsa: Lima penjuru sengit
Turut menjadi perhatian ialah DUN Puteri Wangsa yang menyaksikan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mewakili PH berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Bersama), Rashifa Al Junied (Muda) dan calon bebas Wang Wee Siong. Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia merupakan antara kawasan terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit pada PRN kali ini.
DUN Bukit Kepong: Bekas MB Johor kembali bertanding
Di utara Johor pula, DUN Bukit Kepong dijangka menyaksikan saingan sengit apabila bekas menteri besar Johor, Sahruddin Jamal mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan calon BN Ahmad Syar'e Yusof dan calon PH C Subramani. Pertembungan tiga penjuru di kerusi yang mempunyai 37,683 pengundi itu disifatkan sebagai antara ujian terbesar buat PN.
DUN Permas: Amanah calonkan Sharon Teo
Bagi DUN Permas, Amanah mencipta kelainan apabila buat pertama kali mempertaruhkan calon berbangsa Cina, Sharon Teo Siew Hui, dalam pertandingan empat penjuru membabitkan Baharudin Mohamed Taib (BN), T Vela (PN) dan Dr Zamil Najwah Arbain (Bersama).
DUN Pasir Raja: Dr Adham Baba kembali
Kemunculan semula bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja turut menjadi antara tarikan utama PRN Johor. Selepas lapan tahun tidak bertanding di kerusi DUN, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja itu kembali mewakili BN dalam saingan tiga penjuru berdepan calon PH Mohd Fakharuddin Moslim dan Yuhanita Yunan daripada PN di kawasan yang mempunyai 29,818 pemilih berdaftar itu.
DUN Larkin: Pertembungan penyandang
Kerusi DUN Larkin pula dijangka menjadi antara penentu utama di kawasan bandar apabila mempertemukan penyandang yang juga Exco Belia dan Sukan Johor, Mohd Hairi Mad Shah (BN) dan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat (Amanah). Kehadiran calon Bersama menerusi Norsinah Abu di DUN Larkin turut dijangka berpotensi menambah dinamik persaingan serta mempengaruhi pola sokongan pengundi di kerusi yang mempunyai 76,662 pemilih berdaftar itu.
DUN Endau: Sejarah buat Parti Asli
Selain itu, DUN Endau mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pentas sulung Parti Orang Asli Malaysia (Asli) menyertai pilihan raya negara, sekali gus membuka lembaran baharu penyertaan parti berasaskan masyarakat Orang Asli dalam sistem demokrasi negara. Asli mempertaruhkan Jati Awang, 52, di kerusi berkenaan dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan calon BN Alwiyah Talib, Saiful Nizam Samat (PH) dan Hasnul Hakimi Hussien (PN).
Kerusi marginal penentu majoriti
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali turut menjangkakan beberapa kerusi marginal yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada PRN Johor 2022 seperti Bukit Pasir dan Parit Yaani berpotensi menentukan sama ada parti itu mampu mengekalkan penguasaan dua pertiga di DUN atau memberi ruang kepada parti lain bagi menambah kerusi.
PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.



