Seramai 29 penyandang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan sebahagian besar daripada mereka mewakili Barisan Nasional (BN). Daripada jumlah itu, 25 penyandang bertanding atas tiket BN manakala empat lagi mewakili Pakatan Harapan (PH).
Penyandang BN dominasi kemenangan
Antara nama utama mengekalkan kemenangan ialah Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi di Machap, yang meningkatkan majoritinya daripada 6,543 undi pada PRN 2022 kepada 15,375 undi kali ini. Turut mempertahankan kerusi ialah Zahari Sarip di Buloh Kasap, Anuar Abdul Manap (Pemanis), Tan Chong (Bekok), Fazli Salleh (Bukit Pasir), Selamat Takim (Sungai Balang) dan Fared Khalid (Semerah).
Penyandang BN lain yang kekal menang termasuk Zulkurnain Kamisan di Sri Medan, Ling Tian Soon (Yong Peng), Samsolbari Jamali (Semarang), Najib Samuri (Parit Yaani) dan Rashidah Ramli (Parit Raja). Yusla Ismail turut mempertahankan Senggarang diikuti Lee Ting Han di Paloh, Muszaide Makmor (Sedili), Norlizah Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar) serta Aznan Tamin (Tanjung Surat).
Kemenangan besar di kawasan bandar
Di kawasan bandar, Baharudin Taib mengekalkan Permas dengan majoriti 29,505 undi, manakala Hairi Mad Shah mempertahankan Larkin dengan majoriti 20,282 undi. Ramlee Bohani pula kekal di Kempas, Pandak Ahmad di Kota Iskandar dan Jafni Shukor di Bukit Permai. Hasrunizah Hassan serta Tan Eng Meng turut mempertahankan Pulai Sebatang dan Pekan Nanas dengan majoriti lebih besar berbanding empat tahun lalu.
Di Endau, Alwiyah Talib berjaya mengekalkan kerusinya, namun kali ini bertanding atas tiket BN selepas memenanginya atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada 2022. Syed Hussien Syed Abdullah pula mempertahankan Mahkota, yang dimenanginya atas tiket BN menerusi PRK pada 2024. Beliau menang kali ini dengan majoriti 16,645 undi, berbanding 20,648 undi pada PRK berkenaan.
Empat penyandang PH kekal
Bagi PH, empat penyandang yang berjaya mempertahankan kerusi ialah Ng Yak Howe di Bentayan, Nazri Abdul Rahman (Simpang Jeram), Andrew Chen (Stulang) dan Wong Bor Yang (Senai). Nazri, yang memenangi Simpang Jeram menerusi PRK pada 2023, menang tipis dengan majoriti 170 undi berbanding 3,514 undi sebelum ini. Andrew turut berdepan persaingan sengit apabila menang dengan majoriti 623 undi berbanding 2,866 undi pada PRN lalu. Ng pula menang Bentayan dengan majoriti 6,112 undi, manakala Wong mempertahankan Senai dengan majoriti 3,595 undi.



