JOHOR BAHRU, 8 Julai — Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dirangka berdasarkan keperluan rakyat dan dilengkapi mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap tawaran dapat dilaksanakan.
Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik, berkata manifesto itu bukan sekadar mengandungi janji pilihan raya, tetapi sebaliknya menawarkan komitmen realistik yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan agensi berkaitan.
“Inilah yang ‘boleh dilakukan’, tekad kami dengan kerjasama kerajaan pusat yang boleh dilaksanakan. Malah, antara komitmen kami adalah perlu ada papan pemuka (dashboard) untuk rakyat mengikuti dan memantau,” katanya pada program Dialog PRN Johor yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian.
Komitmen Berdasarkan Maklum Balas Pelbagai Pihak
Turut hadir dalam program yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Maszlee, yang juga bekas Menteri Pendidikan, berkata antara tawaran utama dalam manifesto tersebut termasuk skim kesihatan negeri, bantuan rumah pertama untuk penduduk Johor, dana pembangunan belia, rumah mampu milik, dan penambahbaikan sistem pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata semua tawaran itu dirangka selepas mendapatkan maklum balas daripada pelbagai kumpulan masyarakat termasuk pekerja dan belia, selain mengambil kira kapasiti kewangan serta kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Pendekatan Komprehensif Tangani Kos Sara Hidup
Menyentuh isu kos sara hidup, Maszlee berkata penyelesaiannya tidak boleh bergantung kepada bantuan sekali gus sahaja, tetapi memerlukan dasar yang lebih komprehensif untuk mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata usaha itu termasuk penyediaan perumahan mampu milik, perlindungan kesihatan, dan bantuan pengangkutan awam kepada kumpulan sasaran.
“Kerajaan perlu terus mendengar pandangan rakyat dan menambah baik dasar dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, Maszlee berkata hubungan erat antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah penting untuk memastikan pelbagai agenda pembangunan dan manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menggerakkan pelbagai usaha untuk memacu ekonomi Johor termasuk melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pertandingan Lima Penjuru di Puteri Wangsa
Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Maszlee, Rashifa Aljunied dari Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia), dan Wang Wee Siong (Bebas).
PRN Johor akan berlangsung pada Sabtu ini selepas proses pengundian awal hari ini.
Untuk berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. — Bernama



