MUAR, 16 Jun — Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Johor supaya memilih pemimpin yang memiliki integriti, kebijaksanaan, dan tidak sombong apabila diberikan kuasa, bagi memastikan kebajikan golongan miskin dan akar umbi sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, pemilihan pemimpin merupakan faktor penting dalam menentukan masa depan sesebuah negeri, sambil menyatakan terdapat puak tertentu yang hanya mengeksploitasi sentimen perkauman untuk meraih sokongan tetapi gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat selepas memegang jawatan.
“Untuk politik berjaya, rakyat mesti membaca dan mendengar. Jangan mengeksploitasi sentimen kebencian terhadap orang lain, jangan. Fikirkan apa yang akan berlaku kepada negara kita, anak-anak kita, cucu-cucu kita, sekolah kita, hospital kita…,” katanya dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pakatan Harapan (PH) di sini, malam tadi.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, pemimpin yang dipilih oleh rakyat tidak boleh menjadi sombong selepas memenangi pilihan raya, sebaliknya perlu fokus kepada usaha menyelesaikan isu yang dihadapi oleh orang ramai, terutamanya mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu, beliau berkata PH perlu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini bagi memastikan dasar kerajaan negeri bergerak seiring dengan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menambah, keselarasan antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah penting untuk memastikan segala rundingan, agihan bantuan, dan limpahan ekonomi daripada projek mega dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Sebab itu saya kata Pakatan Harapan mesti menang di Johor supaya kita boleh membawa perubahan kepada negeri Johor. Projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang besar — itu dirunding oleh kita (Kerajaan Persekutuan)… Kita juga sedang memperluas Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Saya tidak kata kerajaan Johor tidak membantu; mereka membantu. Tapi siapa yang melaksanakan? Kita yang laksanakan. Jadi, saya nak negeri Johor yang mewakili dan negeri itu mengubah dasar-dasarnya. Jangan risau tentang projek, saya akan jaga… Saya nak kerajaan negeri, wakil rakyat, dan exco negeri jaga rakyat biasa di bawah,” katanya.
Sementara itu, Anwar juga menggesa pengundi Johor, termasuk mereka yang tinggal di luar negeri, supaya pulang ke kampung halaman dan menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya negeri pada 11 Julai ini demi masa depan Johor.
Beliau menambah, setiap undi amat bernilai dalam membawa perubahan dasar dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat. — Bernama



