NILAI, 30 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan terus bekerja keras untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara contoh di rantau ini melalui pentadbiran yang berteraskan integriti dan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata walaupun kerajaan masih berdepan pelbagai cabaran dan isu yang belum selesai, usaha akan diteruskan untuk memperbaiki tadbir urus demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mungkin pemimpin yang lebih tua, tetapi saya terus bekerja dengan semangat dan tekad seperti orang muda. Saya cintakan negeri ini dan mahu meningkatkan martabatnya. Saya mahu Negeri Sembilan dan Malaysia menjadi contoh untuk rantau ini.
“Tetapi kita mesti terus bekerja keras. Kami telah berusaha sebaik mungkin. Cukup? Belum... Saya orang pertama yang mengakui dan memohon maaf atas sebarang kekurangan dan kelemahan kerana saya mahu negeri ini ditadbir dengan baik,” katanya pada program Grand Finale Jelajah Kekal Harapan di sini malam tadi.
Integriti Pentadbiran Jadi Ukuran
Anwar berkata kejayaan sesebuah pentadbiran tidak diukur dengan dakwaan bahawa semua masalah telah diselesaikan, tetapi dengan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan telus.
Mengambil contoh pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Anwar berkata beberapa isu masih perlu ditangani, termasuk projek perumahan yang belum siap, pembaikan rumah golongan miskin, serta kebajikan masyarakat Orang Asli dan India.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kepimpinan kerajaan sekarang bekerja dengan ikhlas dan tanpa lelah, tanpa menyalahgunakan kuasa atau mengambil kesempatan daripada sumber negara.
“Bukan dia (Aminuddin) seorang, saya juga bekerja dari pagi hingga malam, tujuh hari seminggu, namun belum semua masalah selesai. Tetapi bezanya kami bekerja dengan ikhlas. Saya tidak mengambil wang rakyat.
“Kritiklah saya sebanyak mana pun, tetapi satu perkara yang saya akui ialah saya tidak mengambil hak rakyat dan saya tidak sombong,” katanya.
Seruan Undi PH di PRN Negeri Sembilan
Anwar yang juga Presiden PKR menggesa pengundi Negeri Sembilan untuk memberi peluang kepada Aminuddin dan PH untuk terus memimpin negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Saya harap anda gunakan peluang ini dengan bijak untuk memilih kerajaan yang dapat mentadbir negeri dengan baik. Aminuddin ada kelemahannya, tetapi beliau bersih dan rajin bekerja.
“Negeri Sembilan juga sedang membangun. Beri dia peluang untuk meneruskan kerana dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Negeri Sembilan yang kuat akan mengukuhkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Seramai 867,151 pengundi biasa akan membuang undi pada Sabtu ini untuk memilih wakil bagi 36 kerusi negeri, dengan 103 calon bertanding bagi kawasan tersebut.
Untuk perkembangan terkini Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. — Bernama



