Lebih 120 bekas ahli dan pimpinan Bersatu Bahagian Pulai mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) di Johor, dengan beberapa bekas pemimpin utama menyertai gabungan itu secara terbuka.
Bekas pimpinan Bersatu umum sokong PH
Calon PH bagi DUN Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, berkata kumpulan itu sebenarnya telah menyatakan hasrat menyokong PH lebih awal, tetapi memilih untuk mengumumkannya secara terbuka pada hari ini. Antara bekas pimpinan yang menyertai PH termasuk bekas ketua penerangan Wanita Bersatu Pulai, Rafidah Ani; bekas setiausaha Wanita Pulai, Noriah Mat Daud; bekas pengerusi Bersatu Bukit Mewah, Mohd Suhimi Abdul Rahman; serta beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan.
“Mereka telah menyatakan hasrat itu lebih awal, tetapi kesediaan untuk mengumumkannya dibuat pada hari ini… mereka juga telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan (Bersatu),” katanya menurut Bernama pada sidang media di Johor Bahru.
Faktor utama sokong PH
Faezuddin, yang juga ketua Pemuda PKR Johor, berkata faktor utama mereka menyokong PH adalah didorong pendekatan gabungan itu yang mengamalkan pendekatan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik. “Apabila menjadi wakil rakyat atau kerajaan, kita bantu semua… selepas pilihan raya, kita bantu rakyat tanpa mengira mereka daripada Bersatu, Umno, PKR, DAP atau mana-mana parti… kita mahu membawa budaya politik baharu, bukan budaya lama,” katanya.
Sementara itu, Rafidah mendakwa rasa kecewa terhadap kepimpinan Bersatu yang sukar memberikan penghargaan serta bantuan kepada masyarakat mendorongnya beralih arah ke PH. Sepanjang penglibatannya, beliau berhasrat membantu golongan memerlukan seperti ibu tunggal, namun berdepan kesukaran mendapatkan sokongan sewajarnya daripada parti lama. “Saya rasa kecewa kerana Wanita seperti dianaktirikan dan tidak dihargai,” katanya.
Kekecewaan terhadap Bersatu
Suhimi pula berkata, kekecewaan terhadap layanan serta kegagalan mendapatkan bantuan untuk penduduk setempat menjadi punca beliau dan ahli lain meninggalkan Bersatu. “Saya berharap calon PH dapat membawa lebih banyak kemudahan serta kemajuan kepada Kempas termasuk dalam aspek ekonomi dan kesihatan penduduk,” katanya.
Persaingan di DUN Kempas
Faezuddin berdepan persaingan tiga penjuru di Kempas menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Ramlee Bohani, selain calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Salamahafifi Mohd Yusnaieny. Ramlee menang DUN Kempas pada PRN Johor lalu dengan majoriti 3,514 undi.



