Jais nafi masjid punca kelewatan kebumi jenazah di Hulu Kelang
Jais nafi masjid punca kelewatan kebumi jenazah

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan bahawa kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular pada Khamis lepas berpunca daripada pihak Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam. Sebaliknya, kejadian itu berlaku akibat kekeliruan pihak waris dalam penyerahan urusan pengebumian yang turut melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS).

Kekeliruan Waris dan Penglibatan NGO

Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan dan semakan mendapati jenazah tersebut merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah dan telah meninggal dunia pada jam 6.22 pagi, 25 Jun lepas. Pada peringkat awal, waris telah berurusan dengan BKS yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid bagi tujuan pengebumian. Waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Proses Urusan Pengebumian

Shahzihan menjelaskan, bapa si mati kemudian berjumpa dengan pembantu pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi tersebut. Waris juga bersetuju pihak masjid mengambil alih urusan pengebumian daripada BKS. Pihak masjid telah mengeluarkan borang tersebut pada jam 11.15 pagi setelah menerima Daftar Kematian yang asal. Namun, kemudian dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kekecohan dan Pemalsuan Dokumen

Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid meminta bantuan polis untuk bersama ke lokasi. Semasa tiba di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan oleh BKS, manakala Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian masih dalam pegangan pihak masjid. “Disebabkan waris terus membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah, urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan sehinggalah pihak masjid dihubungi oleh pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang memaklumkan jenazah telah berada di liang lahad,” katanya.

Pihak masjid kemudian membawa dokumen sah ke tanah perkuburan untuk menyempurnakan pengebumian. Shahzihan juga mendedahkan bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan waris kepada pengurusan kubur didapati palsu. “Satu laporan polis telah dibuat berkaitan pemalsuan dokumen tersebut pada 26 Jun,” tegasnya.

Nasihat dan Pendirian Jais

Beliau menasihatkan masyarakat Islam untuk merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi urusan pengebumian jenazah bagi memastikan proses berjalan teratur dan mengelak kelewatan. Jais juga menegaskan bahawa pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak dilengahkan disebabkan kepentingan peribadi pihak tertentu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga