KOTA TINGGI, 2 Jun — Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan untuk mencalonkan muka muda dan baharu sebagai calon dalam pilihan raya negeri Johor akan datang, terutama di kawasan yang mempunyai peratusan tinggi pengundi muda, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Langkah itu bukan sahaja memberi kesan positif kepada BN tetapi juga membuka peluang kepada generasi baru pemimpin untuk muncul sebagai kepimpinan masa depan parti melalui Dewan Undangan Negeri (DUN), tambahnya.
“Kita perlu terima realiti bahawa ramai anak muda kini menjadi pengundi. Di kawasan saya sendiri, kira-kira 40 peratus pengundi adalah golongan muda. Harapan saya supaya perkara ini diberi penekanan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kampung Angkat Madani di Kampung Tanjung Serindit di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusan muktamad mengenai pemilihan calon terletak sepenuhnya pada kepimpinan BN negeri dan biro politik.
Pada masa sama, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berharap dua penyandang ADUN di bawah parlimennya — Aznan Tamin (Tanjung Surat) dan Fauziah Misri (Penawar) — akan dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya ini, dan pilihan raya akan berjalan dalam semangat demokrasi, bebas daripada keganasan atau sebarang insiden yang tidak diingini.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor, Azalina berkata kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mempunyai hak untuk membubarkan dewan dengan persetujuan Istana Johor.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan sokongan positif berterusan rakyat Johor terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah BN.
“Mungkin dengan apa yang berlaku, seperti Sambutan 80 Tahun UMNO di Istana Besar Johor dan kemenangan kejuaraan Liga Super ke-12 Johor Darul Ta’zim, saya melihat banyak sokongan positif daripada rakyat Johor terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Mungkin ini antara faktornya,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat persetujuan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. — Bernama



