Penganalisis berpendapat permohonan Upko menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didorong hasrat parti itu meningkatkan kredibilitinya dalam memperjuangkan hak Sabah, selepas pengalamannya bersama Pakatan Harapan (PH).
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keahlian Upko dalam PH sebelum ini memberi persepsi perjuangannya terikat dalam kerangka nasional sebuah blok politik berasaskan Semenanjung.
“Dengan memohon menyertai GRS, Upko boleh menyusun semula kedudukan politiknya sebagai parti tempatan Sabah yang mahu berada di barisan depan perjuangan negeri,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, tegasnya, Upko perlu membuktikan nilainya dengan berani menyuarakan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak negeri terhadap perkongsian hasil serta perkara lain, termasuk autonomi negeri.
“Kredibiliti sebenar Upko masih bergantung sejauh mana parti itu mampu menterjemahkan perjuangan hak Sabah kepada dasar dan tindakan konkrit.”
Disebabkan politik Sabah sentiasa berpecah akibat kewujudan pelbagai parti, katanya, penyertaan Upko dalam GRS berpotensi membina gerakan politik lebih tersusun.
Upko bersama PH selama empat tahun, sebelum ia meninggalkan gabungan itu pada November lalu, beberapa minggu menjelang PRN Sabah ke-17, selepas menilai pengalamannya dan mengambil kira sentimen rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan disatukan.
Presiden Upko, Ewon Benedick melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri persekutuan atas alasan prinsip parti mempertahankan MA63 serta hak perlembagaan Sabah. Beliau kemudian bertanding dalam PRN Sabah dan dipilih semula sebagai Adun Kadamaian.
Selepas PRN, Upko menyuarakan sokongan kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor untuk membentuk kerajaan Sabah dan Ewon dilantik timbalan ketua menteri. Jumaat lalu, Ewon mengumumkan partinya telah memohon untuk menyertai GRS.
Lee Kuok Tiung juga dari UMS berkata, ‘penjenamaan tempatan’ Upko boleh diperkukuhkan dengan menyertai gabungan parti tempatan, langkah yang disifatkannya logik demi kelangsungan dan relevan dalam suasana sentimen “Sabah-first” yang semakin meningkat.
“Langkah itu bukan saja menjamin kedudukannya dalam kerajaan GRS dengan menolak spekulasi ia akan bekerjasama dengan parti lain, malah turut mengelakkan ia bergerak solo, yang boleh mendedahkannya kepada risiko dipinggirkan kelak.
Rundingan kerusi lebih rumit. Bilcher dan Lee berpendapat, langkah Upko menyertai GRS mungkin menyebabkan rundingan kerusi lebih rumit dalam kalangan parti komponen gabungan itu pada pilihan raya akan datang. Mereka merujuk kecenderungan Upko bertanding di kerusi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, yang berpotensi menimbulkan ketegangan dengan parti lain turut menyasarkan sokongan masyarakat sama.
“Tumpuan tentunya kepada Hajiji sebagai kapten kapal untuk mengimbangi (tuntutan parti komponen) dengan teliti, sambil menyambut kehadiran ahli baharu yang boleh mengukuhkan GRS dan melemahkan blok pembangkang,” kata Lee.
Dari sudut strategi, menurut Bilcher, usaha menyatukan parti tempatan lebih penting daripada memfokuskan perebutan kerusi. “Jika GRS mahu muncul sebagai model seperti GPS di Sarawak, maka parti tempatan Sabah perlu melihat gambaran lebih besar, iaitu membina sebuah blok politik Sabah yang stabil dan dominan, mampu menuntut hak negeri secara kolektif.”



