Umno nilai secara adil peluang pemimpin kembali ke parti tanding PRU16
Umno nilai secara adil peluang pemimpin kembali ke parti tanding PRU16

KUALA LUMPUR: Umno akan menilai secara adil peranan pemimpin yang kembali ke pangkuan parti itu, dengan sebarang keputusan termasuk peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan ditentukan berdasarkan faktor kebolehmenangan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini belum ada penilaian empirikal dilakukan terhadap impak kemasukan semula pemimpin berkenaan menerusi Gagasan Rumah Bangsa.

Penilaian Berasaskan Komitmen

“Jadi, kita harus berlaku adil kepada mereka untuk memperlihatkan komitmen mereka bagi memberikan sumbangan terus kepada Umno,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun Umno ke-80 baru-baru ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, peluang bertanding dalam PRU16 amat bergantung kepada keupayaan calon untuk menang di sesebuah kawasan, sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Gagasan Rumah Bangsa Sebagai Platform

Pada 18 April lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, bekas naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas menteri luar Tan Sri Syed Hamid Albar antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli dari seluruh negara yang diterima kembali ke Umno menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa.

Gagasan Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula Umno yang diperkenalkan Zahid untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahlinya. Diperkenalkan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, inisiatif itu berfungsi sebagai platform terbuka bagi memudahkan pendaftaran keahlian, termasuk melalui permohonan dalam talian tanpa proses rumit.

Asas Perjuangan Kekal Utuh

Ditanya jika inisiatif itu menggambarkan Umno semakin sukar menjadi wadah penyatuan, Zahid yang juga timbalan perdana menteri menegaskan asas perjuangan parti itu kekal utuh sebagai teras dalam landskap politik Melayu-Islam negara.

“Ia tidak bermaksud begitu kerana DNA mana-mana kepimpinan parti Melayu-Islam yang ada datang daripada Umno. Kita lihat parti-parti yang wujud sekarang ini serpihan Umno.

“…dan tidak perlu kita berbeza pendapat untuk siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih Islam…yang penting ialah rakyat harus disantuni dan dibantu.”

Jelasnya, pendekatan semasa juga menuntut semua pihak melihat agenda nasional dengan lebih luas, termasuk dalam aspek pendidikan dan ekonomi tanpa terlalu terikat kepada kepentingan parti semata-mata.

“Ini harus dilihat dengan rasional, bukan hanya pandangan sempit daripada pemimpin tertentu yang masih berfikiran terlalu sempit.”

Hubungan MIC Kekal

Berhubung status hubungan MIC dalam BN, Zahid sekali lagi menegaskan kedudukan parti itu kekal bersama gabungan berkenaan dengan isu berkaitan perkara terbabit telah diselesaikan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga