Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk merangka terma dan syarat bagi parti politik yang ingin menjalin pakatan pilihan raya dengan gabungan pembangkang itu.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil parti komponen. Beliau juga memaklumkan bahawa Majlis Tertinggi PN telah membatalkan tawaran untuk menerima MIC sebagai ahli gabungan kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) itu masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai PN atau tidak.
“PN terbuka untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti yang berkongsi prinsip dan visi, serta mereka yang ingin menjadi rakan strategik tanpa menjadi anggota komponen,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin berkata pakatan pilihan raya adalah wajar memandangkan landskap politik semasa, selain ingin mengekalkan perikatan politik yang “konstruktif” bagi memastikan kestabilan.
Beliau berkata tawaran untuk menerima MIC sebagai anggota PN ditarik balik “kerana tiada pengesahan, selain kenyataan rasmi MIC bahawa parti itu tidak pernah memohon secara rasmi untuk menyertai PN”.
Pada 25 Mac lalu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata parti itu akan kekal dalam BN “buat masa ini”, tetapi tidak mengesahkan sama ada parti itu telah menolak untuk menyertai PN. Saravanan berkata MIC sedang menilai semula kedudukannya berikutan perkembangan dalam PN pada ketika itu, merujuk kepada pelantikan Timbalan Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai pengerusi gabungan itu.
Desas-desus mengenai MIC meninggalkan BN telah berlegar sejak sekian lama, terutamanya selepas perhimpunan agung MIC pada November lalu, apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut berikutan rasa tidak puas hati terhadap peranan dan relevansi parti itu.
Pada 17 Mac lalu, Takiyuddin mengumumkan bahawa MIC telah diluluskan secara rasmi sebagai komponen PN pada Disember. MIC, bersama MCA dan Umno, merupakan anggota pengasas Parti Perikatan sebelum merdeka, yang kemudiannya menjadi BN pada 1973.
Untuk berita terkini, ikuti FMT di WhatsApp, Google News dan Telegram. Langgan surat berita kami dan dapatkan berita terus ke e-mel anda.



