JOHOR BAHRU, 17 Mei — Keputusan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor untuk masing-masing bertanding kesemua 56 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang tidak akan menjejaskan kerjasama di peringkat kerajaan persekutuan, kata Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pendirian yang dinyatakan oleh BN Johor dan PH Johor itu dibuat di peringkat negeri dan tidak memberi kesan kepada hubungan kerjasama yang sedia ada.
"Saya percaya kita akan menunggu dan mendengar pandangan daripada pucuk pimpinan di peringkat PH pada sebelah petang ini," katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat usaha atau petunjuk bahawa BN mungkin akan mencari rundingan dengan PH, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.
"Mungkin, mungkin, ya," katanya ringkas.
Semalam, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan keputusan untuk bertanding semua kerusi negeri, diikuti oleh Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan yang membuat pengumuman serupa ketika berucap pada konvensyen hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk Sidang Khas Dewan Negeri yang dilaporkan dijadualkan pada 24 Jun.
Mengulas mengenai konvensyen itu, Fahmi berkata ia berjalan lancar dengan kehadiran ahli, perwakilan dan pemimpin setakat ini dianggarkan melebihi 8,000 orang, melepasi sasaran 5,000 orang.
Pada sebelah petang ini, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Konvensyen PH 2026 yang bertemakan "Tekad Madani, Harapan Rakyat".
Antara pemimpin yang dijangka berucap termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. — Bernama



