Pemuda PKR Johor menyatakan kesediaan parti itu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) susulan keputusan gabungan tersebut untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Ketua Pemuda PKR Johor, Faezuddin Puad, berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman tersebut dan akan 'lawan' jika itu pilihan BN.
“Kita ambil maklum dan kita akan lawan! Sewaktu berkawan, kita berkawan sungguh-sungguh. Tapi, bila kamu pilih untuk berpecah dan berlawan, kita juga akan berlawan sungguh-sungguh. Biar rakyat menilai,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengesahkan bahawa BN akan bertanding solo pada PRN Johor dengan menyertai semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti, selain mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.
Pada PRN Johor yang lalu, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 12 kerusi, dengan DAP memenangi 10, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi, dan Muda satu kerusi.
Penggal DUN Johor akan berakhir pada April 2027.



