PETALING JAYA: PAS mempertahankan serangan tajam presidennya, Hadi Awang, terhadap Bersatu bulan lepas, yang mendakwa parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu merenggangkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Dalam satu surat bertarikh 5 Jun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Hadi pada sidang media itu merupakan jalan terakhir selepas usaha lain untuk menyelesaikan isu antara kedua-dua parti tidak membuahkan hasil.
Takiyuddin berkata, Hadi bukan semata-mata menyerang Bersatu, sebaliknya mengingatkan parti itu bahawa kejayaan Perikatan Nasional (PN) dibina atas dasar kerjasama dan sifat saling menghormati.
“PAS berasakan adalah tidak adil meletakkan keseluruhan tanggungjawab terhadap ketegangan semasa kepada presiden PAS, sedangkan akar masalah sudah lama wujud akibat beberapa tindakan pemimpin tertentu Bersatu yang sering bertindak secara unilateral tanpa mengambil kira pandangan rakan dalam PN, khususnya PAS.
“PAS berkali-kali memilih pendekatan berdiam diri demi menjaga kesatuan PN,” kata Takiyuddin yang juga setiausaha agung PN.
Takiyuddin berkata, segelintir pemimpin Bersatu sering menggambarkan pemimpin PAS sebagai tidak cekap atau tidak mampu menerajui kepimpinan PN. Tambahnya, tindakan beberapa ahli Bersatu yang menganggotai Majlis Tertinggi PN seolah-olah bertujuan membolehkan parti mereka mendominasi gabungan tersebut.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Bersatu mesti mengambil tindakan konkrit untuk menangani persepsi negatif sesetengah pemimpinnya terhadap PAS, yang disifatkannya sebagai bersikap prejudis dan berprasangka buruk.
Takiyuddin juga berkata, Bersatu mesti mempertimbangkan untuk berdamai dengan pemimpin yang telah dipecatnya, termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin, demi mengukuhkan PN. Tokoh-tokoh ini, katanya, mempunyai rangkaian akar umbi yang luas serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, dan pemergian mereka dari Bersatu juga telah memberi kesan negatif terhadap PN.
Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat malam ini untuk menentukan hubungannya dengan Bersatu, dengan matlamat untuk bertanding pada PRU akan datang tanpanya.
Pada 22 Mei, Hadi berkata, beberapa isu telah mengeruhkan hubungan antara kedua-dua parti, termasuk langkah menyingkirkan menteri besar Perlis, dakwaan campur tangan dalam pelantikan membabitkan Kedah dan Kelantan, serta bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti Melayu-Islam baharu ke dalam PN.
Hadi turut mengkritik Bersatu kerana menuntut agihan kerusi yang tidak seimbang walaupun jentera akar umbinya lemah, menegaskan bahawa sebahagian besar gerak kerja lapangan pada pilihan raya lepas dijalankan oleh sukarelawan PAS.
Pada 25 Mei, Muhyiddin menghantar surat kepada pimpinan PAS untuk menyangkal dakwaan Hadi dan mewajarkan tindakan partinya berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh presiden PAS itu.



