PAS Perlis mengakui berdepan dilema susulan keputusan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, namun menegaskan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini masih berjalan seperti biasa. Ketua Penerangannya, Zahid Ibrahim, berkata parti itu akur dengan keputusan dibuat di peringkat pusat, tetapi pada masa sama perlu mengambil kira titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, supaya kerajaan negeri diteruskan tanpa sebarang spekulasi atau keputusan yang boleh merugikan rakyat.
“Ya, dilema itu biasalah ada. Cuma kita berpijak di bumi yang nyata kerana pergerakan kita atas satu organisasi. Apa-apa pun setakat ini PAS Perlis akur dengan keputusan PAS Pusat. Tiada apa-apa bantahan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Presiden PAS, Hadi Awang, mengumumkan kerjasama politik parti itu dengan Bersatu diputuskan. Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata kerajaan negeri kekal di bawah Perikatan Nasional (PN) dan akan terus mentadbir sehingga tamat penggal pilihan raya. PN menguasai 14 daripada 15 DUN di Perlis dengan PAS mewakili sembilan kerusi manakala lima lagi adalah Bersatu, selain satu diwakili Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, tiga kerusi kosong selepas PAS menghentikan keahlian Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Krisis politik Perlis menyaksikan peralihan jawatan menteri besar daripada PAS kepada Bersatu. PAS Pusat juga mengumumkan Adun daripada parti itu tidak memegang jawatan exco. Mengulas lanjut, Zahid berkata PAS Perlis setakat ini masih berpegang kepada pendirian untuk memastikan kestabilan pentadbiran negeri, sementara menunggu keputusan rasmi hasil mesyuarat peringkat negeri.
“Setakat ini pentadbiran masih kekal seperti biasa. Kerajaan Perlis berlangsung macam biasa. Mungkin dalam sehari dua lagi kita akan bermesyuarat,” katanya.
Ditanya sama ada penamatan hubungan politik dengan Bersatu di peringkat negeri boleh dianggap bercanggah dengan titah Raja Perlis, Zahid berkata beliau secara peribadi mentafsirkan titah itu sebagai gesaan supaya tidak berlaku usaha menjatuhkan kerajaan menerusi undi tidak percaya sehingga tamat sidang DUN tahun hadapan.
“Tapi kalau sekiranya menteri besar mahu menghadap untuk sembah maklum cadangan pembubaran DUN, terpulang kepada Tuanku sama ada mahu terima atau tidak. Sebab pembubaran ini membawa kepada pilihan raya. Tetapi kalau ada undi tidak percaya, ia akan menimbulkan krisis lain pula,” katanya.



