JOHOR BAHRU, 17 Mei — Parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC telah menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan gabungan itu untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri yang akan datang.
MCA anggap langkah berani dan tepat
Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon, berkata keputusan yang diumumkan semalam oleh Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merupakan langkah yang berani, tepat dan berpandangan jauh bagi memastikan BN terus memimpin Johor dengan stabil.
“MCA menyokong sepenuhnya pengumuman yang dibuat oleh Onn Hafiz dan akan bekerja keras untuk memastikan BN terus diberi mandat mentadbir negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata sejak BN membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga pada tahun 2022, Johor di bawah kepimpinan Onn Hafiz telah mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang hasil daripada kestabilan politik yang dinikmati negeri itu.
MIC tegaskan bukan soal ego politik
Sementara itu, Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar, berkata keputusan BN untuk bergerak atas kekuatan sendiri bukanlah soal ego politik, tetapi untuk memastikan kestabilan kerajaan negeri dan kesinambungan agenda pembangunan rakyat.
Beliau berkata MIC percaya Johor tidak memerlukan manuver politik yang boleh mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran atau mengganggu fokus terhadap pembangunan negeri.
“Johor mesti terus diterajui oleh kerajaan yang stabil dan berpengalaman yang memahami aspirasi Bangsa Johor,” katanya. — Bernama



