Kritikan Paroi buka laluan 'lawan dulu, kawan kemudian'
Kritikan Paroi buka laluan 'lawan dulu, kawan kemudian'

Krisis politik Negeri Sembilan yang memuncak apabila Umno dibidas secara terbuka di ceramah Pakatan Harapan (PH) kelmarin mungkin menyebabkan berlaku situasi 'lawan dulu, kawan kemudian' pada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri mengejut, kata penganalisis.

Pandangan Mazlan Ali

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, walaupun BN dan PH bersetuju meneruskan kerajaan perpaduan di negeri itu, ketegangan antara kedua-duanya belum selesai sepenuhnya. Kritikan dan serangan balas dijangka berlarutan sehingga mewujudkan persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru termasuk Perikatan Nasional (PN).

“Jadi 'free for all', iaitu semua parti bebas bertanding, 'lawan dahulu, kawan kemudian' selepas pilihan raya. Sekarang susah hendak mencari titik temu untuk PH dan BN di Negeri Sembilan… kedua-duanya tidak akan berkompromi pada pilihan raya nanti,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Asal Usul Krisis

Krisis politik BN dan PH tercetus apabila 14 Adun Umno pada 20 April lalu menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. Mereka mendakwa Aminuddin gagal menguruskan isu institusi diraja sehingga menjadi perdebatan umum.

Kelmarin, laungan 'Tolak Umno' bergema dalam ceramah PH di Paroi yang diadakan ketika krisis politik negeri itu, walaupun ada gesaan berulang untuk bertenang. Aminuddin juga menyeru rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya, mendakwa pihak tertentu masih tidak berpuas hati.

Keseimbangan Kuasa

BN dan PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas menguasai 31 kerusi pada PRN 2023, manakala lima dimenangi PN. Namun, Mazlan berpandangan krisis PH dan BN Negeri Sembilan tidak akan memberi kesan besar di peringkat persekutuan atau negeri lain.

Menurutnya, keadaan di peringkat nasional mungkin tidak setegang Negeri Sembilan kerana PH dan BN masih boleh mengamalkan formula 'hibrid'. “Menerusi formula itu, mereka boleh bekerjasama di kawasan tertentu, tidak bertembung di beberapa kerusi tetapi bertanding sesama sendiri di tempat lain,” katanya.

Pandangan Azmi Hassan

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, ketegangan di negeri itu terutama membabitkan Aminuddin memberi ruang kepada Umno untuk menjustifikasikan pendirian bergerak solo. “Bila PH menyahut cabaran ini, maka tercapailah cita-cita Umno untuk mengatakannya lebih berani serta kuat selain mahir dalam strategi,” katanya.

Azmi berkata, situasi Negeri Sembilan berbeza dengan Johor dan Melaka, kerana kekuatan PH dan Umno di negeri itu lebih seimbang berdasarkan keputusan PRN 2023. Di Johor dan Melaka, Umno lebih dominan manakala PH mungkin mahu manfaat kerjasama kerajaan perpaduan diterjemahkan dalam bentuk agihan kerusi. “Namun di Negeri Sembilan, kedudukan kedua-dua blok yang hampir seimbang menjadikan persaingan lebih sengit, sekali gus menyukarkan rundingan pilihan raya,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga