Konvensyen PH dijangka bincang kerjasama dengan BN untuk PRN dan PRU16
Konvensyen PH dijangka bincang kerjasama dengan BN

JOHOR BAHRU, 16 Mei — Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang akan berlangsung di sini esok dijangka membincangkan kerjasama politik antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri dan umum akan datang, kata Pengarah Penganjur Konvensyen PH 2026, Datuk Fahmi Fadzil.

Hala tuju politik untuk PRN dan PRU16

Beliau berkata, perkara itu merangkumi hala tuju politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, seterusnya menuju ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Ini juga bagi memastikan hubungan di peringkat persekutuan kekal utuh sebagai kerajaan perpaduan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kita masih banyak yang perlu dilakukan. Pada masa ini, negara menghadapi krisis bekalan global dan kestabilan politik di peringkat persekutuan adalah penting,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Kepentingan kerajaan perpaduan

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH dan Ketua Penerangan PKR berkata, mempertahankan kerajaan perpaduan adalah penting seperti yang berlaku dalam krisis istana baru-baru ini di Negeri Sembilan.

Beliau menambah, krisis Negeri Sembilan itu diuruskan dengan teratur, berstruktur dan tidak memudaratkan dengan Umno negeri itu kekal menyokong kerajaan perpaduan walaupun mempunyai perbezaan pendapat.

“Oleh itu, saya percaya PH akan terus berusaha ke arah apa yang dipersetujui dan ditandatangani dengan BN semasa membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Persiapan konvensyen

Mengenai persiapan konvensyen esok, Menteri Komunikasi itu berkata, seramai 5,000 peserta dijangka hadir.

Beliau berkata, ini termasuk ahli PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dari seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Konvensyen dijangka bermula seawal 7.30 pagi esok dengan sesi pendaftaran.

“Akan ada ucapan oleh pemimpin utama gabungan, termasuk amanat daripada Pengerusi PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, sambil menambah bahawa Anwar dijangka menyentuh hala tuju PH dalam menghadapi pilihan raya negeri Johor dan Melaka, selain persiapan untuk PRU16.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga