PETALING JAYA: Agenda 12 perkara Bersama dijangka meningkatkan penelitian terhadap bekas menteri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, sekali gus mendorong pengundi menilai semula rekod serta prestasi mereka ketika berada dalam kerajaan, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata wujud risiko politik memandangkan banyak janji manifesto Bersama menyentuh secara langsung bidang pernah berada di bawah pengaruh kedua-dua pemimpin itu ketika dalam kerajaan dari 2022 hingga 2025.
“Agenda itu kelihatan tidak lebih daripada himpunan idea yang tertangguh, bukannya suatu agenda baharu dan segar untuk negara,” katanya kepada FMT.
Bagi Azmi, persoalannya bukan sekadar sama ada 12 perkara itu menarik di atas kertas sebaliknya mengapa tiada asas atau gerak kerja jelas dilihat ketika kedua-duanya memegang kuasa.
Rafizi berkhidmat sebagai menteri ekonomi dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim manakala Nik Nazmi dilantik menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar. Rafizi meletak jawatan selepas kalah jawatan timbalan presiden PKR manakala Nik Nazmi mengikut jejak itu susulan kegagalan pertahan kedudukan naib presiden pada pemilihan parti berlangsung Mei 2025.
Mengulas lanjut, Azmi berkata ‘masalah’ itu paling ketara dalam bidang seperti perlindungan sosial, perancangan ekonomi, kebergantungan kepada buruh, peralihan tenaga hijau dan portfolio berat reformasi lain yang kini dimasukkan dalam platform Bersama.
Mengenai kesan politik agenda itu secara lebih luas, Azmi berkata ia menjadikan Bersama kelihatan terlalu bergantung kepada kedua-dua tokoh berkenaan. “Pada asasnya, ini agenda Rafizi campur Nik Nazmi,” katanya.
Azmi berkata, pelan itu ‘amat berisiko’ kerana menggambarkan agenda reformasi Bersama mencerminkan visi dua bekas menteri itu, bukannya barisan kepimpinan parti yang lebih menyeluruh. Katanya, keadaan itu mengecilkan daya tarikan politik parti itu dan pada masa sama meningkatkan pertaruhan peribadi buat Rafizi dan Nik Nazmi.
“Jika agenda itu gagal meyakinkan rakyat, kegagalan itu tidak akan dilihat sebagai kegagalan parti semata-mata, tetapi sebagai gambaran kelemahan kredibiliti mereka,” katanya.
Azmi turut mempersoalkan sama ada platform Bersama mampu mencetuskan minat pengundi dengan menawarkan sesuatu yang benar-benar tersendiri dari segi politik. “Tiada apa yang benar-benar baharu dan tiada yang luar daripada kebiasaan. Tidak ada sesuatu yang boleh menarik keyakinan rakyat terhadap Bersama.”
Azmi merujuk kepada janji Bersama untuk melaksanakan bantuan bersasar secara automatik, yang menurutnya berkait rapat dengan portfolio ekonomi Rafizi sebelum ini serta peranannya memperkenalkan Pangkalan Data Utama, Padu. Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada Rafizi sudah membuktikan kemampuan membina jentera yang diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan berkesan.
Persoalan sama juga timbul berhubung janji berkaitan perancangan negara, pertumbuhan gaji, kemampuan memiliki rumah, peralihan tenaga dan kelestarian, kata Azmi. “Bersama kini bercakap dengan keyakinan sebagai sebuah parti yang menawarkan penyelesaian, tetapi pengundi berkemungkinan besar akan menilai pemimpinnya berdasarkan apa yang mereka lakukan ketika berada dalam kerajaan.”
Rafizi dan Nik Nazmi pada 17 Mei mengumumkan mereka keluar PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa untuk mengambil alih Bersama. Mereka turut mengumumkan agenda 12 perkara yang merangkumi sistem keselamatan sosial negara baharu, penjagaan kanak-kanak sejagat, perumahan mampu milik, serta reformasi perumahan, pendidikan dan kesihatan.
Janji parti yang dihidupkan semula itu turut meliputi usaha memacu pertumbuhan ekonomi, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memodenkan pertanian, menggerakkan peralihan tenaga dan mewujudkan kebebasan institusi.



