Umno tangguh mesyuarat perwakilan fokus PRN Johor
Umno tangguh mesyuarat perwakilan fokus PRN Johor

PETALING JAYA: Umno menangguhkan semua mesyuarat perwakilan bahagian dan sayap parti itu pada tahun ini bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, keputusan yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu bertujuan memastikan ahli parti di semua peringkat dapat membantu gerak kerja menghadapi PRN berkenaan.

Katanya, penangguhan itu melibatkan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian, Wanita, Pemuda, dan Puteri.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sehubungan dengan itu, bagi memastikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang perlu dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Umno, ia akan dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 17 hingga 19 Julai ini.

“Mesyuarat perwakilan bahagian pula akan diadakan pada minggu berikutnya, iaitu dari 24 hingga 26 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun untuk memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pada PRN 2022, Barisan Nasional menang 40 kerusi, Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (3), dan Muda (1).

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga