Umno Melaka Bayang Pilihan Raya Negeri Dalam Empat Bulan
Umno Melaka Bayang PRN Dalam Empat Bulan

MELAKA, 18 Mei — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri (PRN) Melaka mungkin akan diadakan dalam tempoh empat bulan lagi.

Ab Rauf, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, berkata adalah tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya terlalu hampir dengan tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember, kerana tempoh berkempen dijangka akan bertembung dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami akan cuba mengenal pasti masa yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini (untuk mengadakan PRN Melaka),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam Sireh Pulang ke Gagang di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Apabila ditanya sama ada Umno Melaka akan bertanding solo seperti yang diputuskan oleh Umno Johor semalam, Ab Rauf berkata perkara itu belum diputuskan lagi.

“Kami belum mempertimbangkan lagi, sama ada untuk bertanding solo atau bekerjasama dengan parti lain. Kami akan menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman.

“Kami sudah memulakan kerja-kerja asas sejak tahun lepas dan insya-Allah, berdasarkan sambutan orang ramai, kerajaan negeri (pimpinan BN) dilihat sebagai pilihan utama,” katanya.

Dalam majlis yang sama, lebih 190 individu dari kawasan parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno melalui Rumah Bangsa.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN Melaka 2021, dan penggal semasa dijangka berakhir pada Disember. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga