SPR nasihat calon sahkan kertas pencalonan sebelum PRN Negeri Sembilan
SPR nasihat calon sahkan kertas pencalonan sebelum PRN NS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan bakal calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya melengkapkan borang pencalonan dan mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pegawai Pengembalian Undi atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Deposit dan resit perlu dibawa pada hari penamaan calon

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan hari ini turut menasihatkan bakal calon supaya membayar deposit pilihan raya lebih awal dan membawa resit pembayaran pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.

“Bakal calon yang mewakili parti politik juga perlu mengemukakan surat kebenaran menggunakan lambang parti apabila mengemukakan kertas pencalonan,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata kertas pencalonan boleh diserahkan kepada Pegawai Pengembalian Undi di lapan pusat penamaan calon di negeri itu dari jam 9 pagi hingga 10 pagi oleh calon, pencadang dan penyokong, atau oleh mana-mana dua daripada mereka, atau oleh mana-mana seorang daripada mereka.

Deposit bahan kempen tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya

Khairul Shahril berkata calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“SPR menyeru semua bakal calon dan parti politik yang terlibat supaya mematuhi semua undang-undang, peraturan, kod etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Sembilan dibubarkan 5 Jun

Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi telah dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat persetujuan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

SPR telah menetapkan 1 Ogos sebagai hari mengundi bagi pilihan raya Negeri Sembilan, dengan hari penamaan calon pada Sabtu ini (18 Julai) dan pengundian awal pada 28 Julai. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga