KUALA LUMPUR, 20 Mei — Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan daripada Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, berkuat kuasa 18 Mei.
SPR dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi
Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan dua kerusi parlimen tersebut selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang keputusan berhubung pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Pandan dan Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bekas pemimpin PKR sertai parti baharu
Pada Isnin, Rafizi yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, dan Nik Nazmi, bekas naib presiden parti itu, turut mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti melalui surat yang ditujukan kepada setiausaha agung PKR.
Mereka kemudiannya mengambil alih sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang. — Bernama



