RM25.2 juta dipasang 3,000 tiang lampu solar di 32 lokasi hitam lebuh raya
RM25.2 juta: 3,000 tiang lampu solar di 32 lokasi hitam

Kerajaan telah memperuntukkan RM25.2 juta bagi fasa awal pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di 32 lokasi berisiko tinggi dan sering berlakunya kemalangan di rangkaian lebuh raya seluruh negara.

Butiran peruntukan dan kontraktor

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif di bawah program Pemantauan Madani ini melibatkan pemasangan 3,000 tiang lampu untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di lokasi yang dikenal pasti.

Beliau berkata projek ini adalah langkah proaktif Kementerian Kerja Raya bersama Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai respons kepada seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan berkaitan dalam Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lalu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kerajaan memandang serius kemalangan jalan raya. Peruntukan asal yang disebut sebelum ini ialah RM30 juta, tetapi untuk fasa awal ini, kami peruntukkan RM25 juta terlebih dahulu. Baki dana akan disalurkan selepas kami menilai keperluan dari semasa ke semasa.

“Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor terpilih hari ini, yang bermaksud kerja fizikal di tapak boleh dimulakan serta-merta. Projek ini disasarkan siap sepenuhnya menjelang akhir November tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan SST kepada empat kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek itu, di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim, Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad, Ketua Pengarah LLM Datuk Mohd Hadzmir Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa.

Pecahan lokasi dan kos

Menjelaskan lanjut, Nanta berkata jumlah nilai SST yang dikeluarkan hari ini berjumlah RM25,248,813.08.

Daripada jumlah itu, 1,005 tiang lampu bernilai RM8.11 juta akan dipasang di 12 lokasi sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (E1) (Utara), antara Persimpangan Sungai Buloh dan Persimpangan Gurun.

Sebanyak 567 tiang lampu lagi, dengan nilai kontrak RM5.09 juta, akan dipasang di enam lokasi sepanjang Lebuhraya Seremban-Port Dickson (E29) dan Lebuhraya Utara-Selatan (E2) (Selatan), merangkumi rentangan antara Persimpangan Senawang dan Persimpangan Pedas Linggi.

Di sepanjang rentangan E2 (Selatan) antara Persimpangan Ayer Keroh dan Persimpangan Yong Peng (Utara), 738 tiang lampu akan dipasang di lima lokasi dengan kos RM6.25 juta.

Baki 690 tiang lampu bernilai RM5.77 juta akan dipasang di sembilan lokasi meliputi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8) (antara Karak dan Bentong), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (antara Persimpangan Chenor dan Persimpangan Gambang), dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (antara Persimpangan Bukit Besi dan Persimpangan Ajil).

Pemantauan dan penyelenggaraan

Sementara itu, Mohd Hadzmir berkata LLM menggunakan sistem MH Roads untuk memantau data kemalangan secara terperinci bagi mengenal pasti titik hitam.

“Daripada 32 lokasi yang dikenal pasti, sembilan adalah titik hitam yang diiktiraf dengan pemberat kemalangan serius, manakala lokasi selebihnya adalah kawasan berpotensi berisiko tinggi.

“Pemasangan lampu LED berkuasa solar ini akan dipantau rapi untuk menilai trend pengurangan kadar kemalangan. Setelah projek siap, tanggungjawab penyelenggaraan akan diserahkan kepada konsesi lebuh raya masing-masing di bawah pengawasan LLM,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga