PRN Johor: NGO sediakan bas percuma, KTMB tambah 7,560 tempat duduk ETS
PRN Johor: Bas percuma, tambahan 7,560 tempat duduk ETS

JOHOR BAHRU, 9 Julai — Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Stesen Pemantauan Rakyat, menyediakan enam bas percuma untuk membawa 240 pengundi dari Kuala Lumpur dan Singapore pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Perkhidmatan bas percuma dari KL dan Singapura

Wakil NGO tersebut, Yong Shui Wen, berkata perkhidmatan itu merangkumi empat bas dari Kuala Lumpur, manakala dua bas lagi dikhaskan untuk pengundi dari Singapura, dengan pengambilan di Kompleks Sultan Iskandar Bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.

“Bas-bas ini akan bergerak ke beberapa destinasi termasuk Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pekan Nanas, Segamat, Labis, Kluang, Ayer Hitam dan Kulai.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bas dari Kuala Lumpur ke Johor akan bertolak pada jam 9 malam Jumaat. Sementara itu, bas dari Kompleks CIQ BSI akan bertolak pada jam 9 malam Jumaat dan 9 pagi Sabtu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yong berkata NGO itu telah menjalankan inisiatif ini sejak 2018 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengundi Johor yang menetap di luar negeri, dengan semua tempat duduk telah penuh ditempah.

KTMB gandakan kapasiti ETS

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menggandakan kapasiti tempat duduk untuk perkhidmatan Electric Train Service (ETS) ke destinasi selatan dari 10 hingga 12 Julai sebagai respons terhadap peningkatan permintaan menjelang PRN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata sebanyak 7,560 tempat duduk tambahan telah disediakan untuk laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral, menjadikan jumlah kapasiti kepada 15,120 tempat duduk.

Menurut beliau, sebanyak 12,769 tempat duduk, atau 84 peratus daripada jumlah kapasiti laluan itu, telah dijual setakat jam 7.45 pagi ini, dengan hanya 2,351 tempat duduk masih berbaki.

“KTMB juga telah menambah kapasiti tempat duduk untuk laluan Gemas-JB Sentral-Gemas daripada 630 kepada 4,410 tempat duduk dalam tempoh yang sama bagi memudahkan perjalanan penduduk Johor yang akan keluar mengundi.

“Sehingga pagi ini, 47 peratus atau 2,064 tempat duduk telah ditempah, dengan 2,346 tempat duduk masih tersedia,” katanya kepada Bernama.

Kebanyakan tiket waktu puncak hampir habis

Sementara itu, pemeriksaan pada aplikasi KTMB Mobile mendapati tiket untuk beberapa perkhidmatan waktu puncak pada Jumaat dan Sabtu ini hampir habis dijual, walaupun orang ramai dinasihatkan untuk terus menyemak ketersediaan tiket dari semasa ke semasa.

Seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi pada PRN Johor ke-16, dengan 2,727,926 pengundi berdaftar dijadualkan membuang undi pada Sabtu ini.

Untuk perkembangan terkini mengenai PRN, layari https://prn.bernama.com/johor. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga