Polis Rampas Barang Kemas Curi di Jerantut, Tahan Dua Suspek di Chow Kit
Polis Rampas Barang Kemas Curi Jerantut, Tahan Dua Suspek

KUANTAN, 13 Mei — Polis telah menangkap dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian barang kemas di sebuah kedai emas di Jerantut pada 28 April lalu.

Tangkapan di Chow Kit

Ketua Polis Daerah Jerantut Pemangku DSP Arshad Ayob berkata, kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 63 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang pada Isnin lalu di dua lokasi berasingan di Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Polis merampas gelang dan cincin emas pelbagai saiz yang dipercayai dicuri dalam kejadian itu, dengan anggaran nilai pasaran RM26,000. Sebuah motosikal, telefon bimbit, kad bank dan pakaian juga dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rekod Jenayah

Beliau menambah, semakan latar belakang mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing awal menunjukkan negatif penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Kronologi Kejadian

Pada 1 Mei, laporan media menyatakan polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri barang kemas bernilai hampir RM26,000 dari sebuah kedai emas di Jerantut.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu, suspek dipercayai memasuki premis dengan berpura-pura ingin membeli cincin pertunangan sebelum melarikan diri dengan beberapa keping barang kemas dari kaunter pameran. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga