Kerajaan pertimbang pas masuk khas untuk pelayar antarabangsa
Pas masuk khas pelayar antarabangsa dipertimbang

ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan pas masuk khas kepada pelayar antarabangsa, bagi mengatasi kekangan tempoh pas lawatan sosial sedia ada.

Tempoh pas lawatan sosial tidak selari dengan keperluan pelayar

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tempoh pas lawatan sosial sedia ada antara 30 atau 90 hari dilihat tidak selari dengan tempoh penyelenggaraan atau pembaikan kapal layar. Ini merupakan antara isu utama yang sering dihadapi oleh pelayar antarabangsa.

“Kalau mereka diberikan pas lawatan sosial biasa, katakan kapal layar mereka perlu diselenggara lama, sedangkan tempoh pas sudah tamat, jadi ia akan menyukarkan mereka. Apakah kita akan pertimbangkan satu pemberian pas yang khusus untuk memudahkan mereka, saya cenderung ke arah itu,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour, sempena lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan di Langkawi selama dua hari bermula semalam, menerusi kenyataan hari ini.

Perbincangan dengan Ketua Pengarah Imigresen

Saifuddin berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Imigresen dan jika perlu, mendapatkan nasihat Peguam Negara untuk menentukan akta serta peraturan imigresen yang boleh digunakan.

“Saya akan bincang dengan Ketua Pengarah Imigresen dan kalau perlu nasihat Peguam Negara, kita akan tengok akta mana, peraturan imigresen mana yang boleh digunakan,” katanya.

Pelayar sebagai pelancong Gred A dengan perbelanjaan tinggi

Menurut Saifuddin, golongan pelayar merupakan antara pelancong berprofil tinggi dengan kuasa perbelanjaan lebih besar berbanding pelancong lain. Mereka mampu memberi limpahan ekonomi kepada semua pihak dalam pelbagai sektor.

“Contoh, kalau pelancong China, apabila masuk ke Langkawi, mereka akan berbelanja sekitar RM7,000 manakala pelancong dari Asia Barat sekitar RM11,000. Tetapi, golongan pelayar ini mencatatkan perbelanjaan jauh lebih tinggi sehingga boleh mencecah tujuh angka.

“Mereka ini boleh dianggap sebagai pelancong Gred A, mereka berbelanja besar dan memberi keuntungan ekonomi sehingga boleh dirasakan oleh peringkat bawah. Jadi, kita akan cuba mudahkan cara untuk pelayar-pelayar ini,” katanya.

Agensi KDN di Langkawi fokus pada urusan pintu masuk

Dalam pada itu, beliau berkata antara agensi utama KDN di Langkawi ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang fokus untuk memastikan semua urusan di pintu masuk negara berjalan lancar.

“Apabila sistem penyampaian kita cekap dan pantas, ia menjadi antara faktor penarik, kerana pelancong tidak berdepan kesukaran untuk menjalankan urusan mereka. Rata-rata pelancong yang saya temui juga memaklumkan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan JIM,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga