Seorang pemimpin Bersatu menggesa PAS mengambil tindakan disiplin terhadap ketua penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari, kerana tindakannya yang didakwa berterusan mengeluarkan kenyataan 'tak masuk akal' secara terbuka. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, R Sanjeevan, berkata tindakan tegas perlu diambil kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu konsisten melanggar arahan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan supaya mengunci mulut mengenai isu dalaman Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan kontroversi Fadhli
“Ada ketetapan daripada SUA PAS supaya jangan membuat sebarang kenyataan tetapi Fadhli hari-hari membuat kenyataan yang tak masuk akal. Eloklah PAS ambil tindakan disiplin terhadap beliau,” katanya kepada FMT. Sebelum ini, Takiyuddin mengeluarkan arahan rasmi meminta semua ahli dan pimpinan ‘mengunci mulut’ serta menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden PAS Hadi Awang mengendalikan perkara membabitkan hubungan parti itu dengan rakan komponen dalam PN.
Bagaimanapun, Fadhli baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila menyatakan PAS sedia membantu bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan, di mana sahaja beliau bertanding pada pilihan raya akan datang. Kenyataan Fadhli turut mengundang maklum balas daripada seorang lagi Ahli MPT Bersatu, Dr Afif Bahardin yang mengingatkan usaha menaja Wan Saiful sebagai calon atas tiket PAS boleh mengundang padah.
Risiko boikot akar umbi
Menurut Adun Taman Medan itu, walaupun meletakkan calon adalah hak mutlak PAS selepas rundingan kerusi selesai, tetapi respons daripada akar umbi Bersatu tidak boleh dipandang ringan. Sambil mengingatkan risiko boikot, beliau mengimbau pengalaman PN kalah di kerusi berpotensi akibat pergolakan dalaman. “Sama macam pengalaman kita sebelum ini bila akar umbi PAS boikot Dominic Lau di Bayan Lepas semasa PRN lepas di Pulau Pinang, PN kalah di kerusi berpotensi itu.
“Walaupun calon telah dipersetujui kepimpinan PN, kebarangkalian respon di akar umbi akan main peranan pengaruhi outcome pilihan raya,” katanya. Ketegangan antara dua parti komponen utama PN itu semakin memuncak selepas Fadhli secara peribadi mencadangkan PAS dan Bersatu bergerak berasingan pada pilihan raya akan datang susulan pertikaian terbuka mengenai kekuatan jentera parti.
Cadangan bergerak solo itu dibuat Fadhli bagi membalas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali yang melabel pihak yang mendakwa Bersatu tiada jentera sebagai ‘pekak’. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, kemudian menafikan kenyataan Azmin ditujukan kepada PAS tetapi pihak tertentu yang didakwa gagal mendengar penjelasan pimpinan parti dan menyebarkan tafsiran tidak tepat terhadap keputusan Majlis Tertinggi PN.



