Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran bahawa organisasi media tradisional perlu berubah atau berisiko menjadi tidak relevan dalam era digital yang semakin pesat berkembang. Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan panel mengenai penjenamaan dan keusahawanan pada CTOS SME Biz Day 2026.
Menurut Khairy, banyak syarikat media arus perdana yang sudah lama bertapak kini bergelut untuk bersaing dengan pencipta kandungan dan platform digital. Beliau menyifatkan keadaan media tradisional sebagai sedang nazak.
Berdasarkan pengalamannya menerusi audio siar Keluar Sekejap, Khairy menekankan bahawa penjenamaan yang kukuh mesti dibina atas asas yang mantap. “Penjenamaan tanpa produk tidak akan berhasil,” katanya. Beliau turut memberi amaran bahawa perniagaan dalam industri yang sentiasa menjadi perhatian umum, seperti media digital serta makanan dan minuman, amat terdedah kepada kecaman orang ramai.
“Satu langkah silap, satu hantaran silap, satu komen silap, satu sambal tak kena, habis,” katanya mengulas kenyataan Calvin Chan, pengasas Oriental Kopi, mengenai cabaran membina jenama makanan dan minuman.
Khairy juga berkongsi bahawa beberapa usaha baharu syarikatnya, KS Media, termasuk saluran gaya hidup dan platform pembelajaran bahasa berasaskan kecerdasan buatan (AI), muncul secara tidak dirancang selepas program audio Keluar Sekejap mendapat sambutan. “Banyak inovasi berlaku secara tidak sengaja. Kita tidak sedar apa yang kita ada sehinggalah kita sudah melakukannya,” katanya.
Apabila ditanya sama ada profil politiknya memberi kelebihan yang tidak adil, Khairy mengakui ia membantu dari segi keterlihatan tetapi tidak menjamin kejayaan. Beliau menekankan bahawa membina perniagaan yang berkait rapat dengan seorang tokoh awam mempunyai cabarannya sendiri, kerana tidak semua orang mempunyai pandangan positif terhadapnya susulan latar belakang politiknya.
“Ada orang suka saya, tetapi ramai juga yang tidak suka saya. Jadi saya perlu memastikan jenama perniagaan ini dilindungi, dan bukan hanya memikirkan jenama diri saya sendiri,” katanya. Mengulas semakin ramai ahli politik menceburi dunia program audio siar, Khairy berseloroh ruang itu menjadi “tanah perkuburan bagi ahli politik yang gagal”.
Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan kekal komited untuk memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang disifatkannya sebagai tonggak penting ekonomi Malaysia. Beliau berkata usaha dasar kerajaan tertumpu kepada tiga keutamaan: memperluas akses kepada pembiayaan, meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui penggunaan digital, serta memperkukuh kerangka institusi dan peraturan.
Amir turut menyambut baik pengenalan inisiatif Funding Pavilion oleh CTOS Digital Bhd tahun ini, yang disifatkannya sebagai platform yang dapat membantu menghubungkan PMKS dengan penyedia pembiayaan dan rakan niaga berpotensi. “Ia menyediakan platform tersusun untuk PMKS berhubung secara langsung dengan pembiaya dan rakan kongsi, sekali gus mengurangkan halangan, melancarkan aliran maklumat dan mempercepat proses membuat keputusan,” katanya.



