Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyerahkan kepada rakyat untuk menilai berhubung dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, seperti yang didedahkan. Beliau berkata isu berkenaan wajar diserahkan kepada pengundi memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan negeri itu bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN).
Rakyat sebagai hakim
“Rakyat mempunyai mata untuk melihat apa yang berlaku dan saya biarkan rakyat buat penilaian. Biarlah rakyat menjadi hakim terhadap apa yang berlaku,” katanya kepada media hari ini. Semalam dilaporkan bahawa Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan perbincangan awal dengan Umno mengenai usaha untuk menyingkirkan Aminuddin. Rancangan tersebut didedahkan dalam sepucuk surat 13 muka surat yang didakwa daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada pemimpin PAS.
Surat bertarikh 25 Mei itu menyatakan bahawa beberapa siri perbincangan telah berlaku antara PAS, Bersatu dan Umno sebelum 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin. Ia menyebut bahawa salah satu pertemuan tersebut, di ibu pejabat Bersatu pada 24 April, melibatkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan tiga Adun PAS, serta Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan dua Adun Bersatu, bagi tujuan menandatangani akuan berkanun.
Umno Negeri Sembilan mengadakan sidang media pada 27 April untuk mengumumkan penarikan sokongan Adun mereka terhadap Aminuddin, dengan alasan hilang kepercayaan terhadap beliau berhubung pengendalian krisis melibatkan cubaan empat pembesar adat untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar negeri tersebut.
Harapan dalam politik
Ditanya sama ada beliau kecewa apabila mengetahui mengenai dakwaan komplot itu, Loke berkata dalam politik seseorang perlu sentiasa mempunyai harapan. “Dalam politik ini kita kena ada harapan. Tak boleh kecewa, kena ada harapan,” katanya. Mengenai sama ada keputusan PAS yang memutuskan kerjasama dengan Bersatu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), beliau enggan mengulas lanjut. “Itu masalah mereka,” katanya.



