Kontroversi Trek Stadium Nasional Dedah Tuntutan Baharu Tadbir Urus Sukan
Kontroversi Trek Stadium Nasional Dedah Tuntutan Tadbir Urus

Kontroversi Trek Stadium Nasional Dedah Tuntutan Baharu Tadbir Urus Sukan

Kontroversi yang melibatkan trek larian di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini telah mencetuskan wacana lebih luas mengenai bukti, ketelusan dan akauntabiliti dalam infrastruktur sukan yang dibiayai dana awam. Sekali pandang, isu ini kelihatan seperti pertikaian teknikal semata-mata. Satu pihak membangkitkan kebimbangan mengenai risiko kecederaan, ketahanan dan nilai untuk wang, manakala pihak yang satu lagi menekankan soal piawaian antarabangsa, prestasi dan kebolehpercayaan. Namun, reaksi ketara terhadap laporan berita menunjukkan bahawa ramai pembaca melihat isu ini dari sudut yang lebih besar.

Isunya bukan lagi sekadar mengenai permukaan trek atau syarikat pengeluar, sebaliknya ia soal kepercayaan. Bagaimana pihak berkuasa menilai projek sukan berskala besar? Apakah bukti yang menyokong syor-syor penting? Dan sejauh manakah maklumat wajar didedahkan kepada umum apabila melibatkan wang pembayar cukai? Persoalan-persoalan ini menjadi lebih meruncing susulan penelitian keputusan menggantikan trek Mondo sedia ada di stadium nasional dan stadium mini Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sistem JRace buatan China.

Langkah menggantikan trek yang usang bukanlah sesuatu yang aneh. Fasiliti sukan di seluruh dunia lazimnya menaik taraf permukaan trek apabila ia semakin haus. Apa yang menarik perhatian adalah alasan yang diberikan bagi pertukaran tersebut serta maklumat yang ada untuk menyokongnya. Sepucuk surat yang dihantar oleh Olahraga Malaysia (Malaysia Athletics) kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari pada awal tahun ini mengkritik trek sedia ada dan mencadangkan alternatif dengan kos yang lebih rendah. Persekutuan itu berkata, permukaan trek tersebut terlalu keras, menyumbang kepada kecederaan, dan telah rosak sebelum tamat jangka hayat asalnya. Turut dibangkitkan, sistem bertauliah yang lain boleh mencapai piawaian yang sama pada kos yang jauh lebih rendah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Dakwaan tersebut mungkin benar. Namun, ramai pembaca yang menghubungi FMT fokus pada perkara yang berbeza. Mereka ingin tahu sama ada terdapat bukti yang menyokong kesimpulan tersebut atau tidak. Mereka berkata, keyakinan awam hari ini sudah kurang bergantung pada jaminan lisan semata-mata, sebaliknya lebih tertumpu pada akses kepada maklumat. RISE (Reform in Sport and Excellence) turut berpandangan serupa. Kumpulan itu berkata, keputusan yang melibatkan dana awam haruslah bersandarkan bukti yang boleh diteliti dan diuji.

“Orang awam tidak minta kesempurnaan. Mereka cuma mahu faham bagaimana sesuatu keputusan itu dicapai,” kata jurucakap RISE Hamdi Jaafar. Jangkaan sebegini bukanlah sesuatu yang unik untuk bidang sukan sahaja. Pemerhati industri mengambil maklum bahawa kerajaan kini semakin mensyaratkan kajian teknikal, analisis kos dan penilaian bebas sebelum meluluskan projek infrastruktur besar. Matlamatnya bukan semata-mata untuk memilih pilihan termurah atau jenama paling terkenal, tetapi yang memaparkan nilai.

Ini bermakna penilaian harus melangkaui harga pembelian. Produk yang lebih murah mungkin tidak menawarkan kos jangka panjang paling rendah. Produk premium pula tidak semestinya mewajarkan harga lebih tinggi. Kunci utamanya ialah bukti. Jika sesebuah fasiliti tidak lagi memenuhi keperluan operasi, pembuat keputusan harus mampu menjelaskan sebabnya. Jika penggantian menawarkan nilai yang lebih baik, mereka harus boleh menunjukkan bagaimana kesimpulan itu dicapai. Kebanyakan reaksi terhadap projek stadium nasional itu menunjukkan bahawa orang awam mengharapkan tahap ketelusan seperti itu.

Isu ini juga menonjolkan pelbagai kepentingan berbeza yang terlibat dalam infrastruktur sukan. Atlet memberi tumpuan pada prestasi dan keselamatan. Persekutuan kebangsaan fokus pada standard pertandingan dan persiapan. Pengendali lokasi, seperti Perbadanan Stadium Malaysia, mesti menguruskan soal penyelenggaraan, ketahanan dan kegunaan komersial. Agensi kerajaan pula mesti menyeimbangkan kesemua kepentingan tersebut sambil melindungi dana awam. Tiada satupun daripada keutamaan ini salah. Bagaimanapun, menurut pemegang taruh, masalah timbul apabila sesuatu keputusan diteruskan sebelum rasional di sebaliknya diperjelas sepenuhnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Di sinilah kerap kali tercetusnya spekulasi. Apabila maklumat tidak mencukupi, orang ramai mula membuat pelbagai andaian. Motif mula dipersoalkan. Keyakinan mula terjejas. RISE berkata, ketelusan menjadi lebih penting apabila projek tersebut melibatkan lokasi sukan negara. “Fasiliti ini milik awam. Orang ramai berhak faham sebab di sebalik keputusan melibatkan perbelanjaan besar,” kata kumpulan itu.

Iktibarnya lebih daripada sekadar isu trek larian di stadium nasional. Malaysia sedang membuat persiapan untuk Sukan SEA 2027 dan akan terus melabur dalam fasiliti sukan, program pembangunan atlet serta infrastruktur acara. Lebih banyak projek akan menyusul. Setiap satunya akan membawa keputusan mengenai kos, spesifikasi, keutamaan dan nilai jangka panjang. Pemerhati berkata, cabarannya bukanlah untuk mengelak kritikan. Mana-mana projek besar pasti akan mengundang pandangan yang berbeza. Cabaran sebenar adalah memastikan keputusan tersebut mampu menghadapi penelitian bertahun-tahun selepas kontrak dianugerahkan.

Ia bermula dengan menyediakan bukti yang boleh diakses. Jika kebimbangan mengenai kecederaan menjadi punca penggantian, data sokongannya perlu jelas. Jika fasiliti mengalami kerosakan lebih awal daripada jangkaan, laporan teknikal mesti menjelaskan sebabnya. Jika produk alternatif menjanjikan penjimatan besar, perhitungan di sebalik dakwaan itu perlulah telus. Keterbukaan sebegini tidak akan menghapuskan perbezaan pendapat. Orang ramai masih akan berdebat mengenai pembekal, spesifikasi dan keutamaan perbelanjaan. Namun, ketelusan memudahkan sesuatu keputusan itu dipertahankan kerana ia membolehkan orang awam boleh melihat rasional di sebaliknya.

Menurut RISE, prinsip itu patut digunakan untuk setiap projek sukan berskala besar, tanpa mengira jenama, kontraktor atau badan induk yang terlibat. Oleh itu, kontroversi berkaitan trek stadium nasional ini telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar, bukan hanya tentang permukaan dan spesifikasi. Ia menjadi suatu peringatan bahawa projek sukan utama perlu lebih daripada sekadar pandangan pakar. Ia juga memerlukan bukti yang mampu menghadapi penelitian awam. Pokok pangkalnya, legasi paling kekal daripada perdebatan semasa ini mungkin bukanlah trek yang menggantikan permukaan sedia ada. Sebaliknya, ia mungkin meningkatkan jangkaan agar keputusan melibatkan dana awam pada masa akan datang disertakan penjelasan jelas, bukti menyokong dan lebih ketelusan.