JS-SEZ bukti kejayaan strategi ekonomi Kerajaan Madani, kata Saifuddin
JS-SEZ bukti kejayaan strategi ekonomi Madani

JOHOR BAHRU, 17 Mei — Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuktikan keberkesanan strategi Kerajaan Madani dalam menterjemahkan kemakmuran ekonomi kepada manfaat langsung untuk negeri dan rakyat.

Kejayaan Pelaburan JS-SEZ

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata projek unik hasil kerjasama dua negara itu berjaya menarik pelaburan besar, merangkumi 66 peratus daripada jumlah pelaburan Johor sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata bagi menyokong pertumbuhan wilayah ekonomi itu, kerajaan memberi penekanan terhadap kesalinghubungan dan mobiliti di pintu masuk negara supaya tidak lagi terikat dengan sistem pengurusan lapuk.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kami menggantikan sistem pengurusan sempadan yang lapuk, mempercepatkan program perolehan, membina sistem baharu, dan meletakkan infrastruktur paling canggih. Kami kini hanya menunggu pelaksanaan secara berperingkat,” katanya.

Ucapan di Konvensyen PH 2026

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata usaha menangani kesesakan di Tambak Johor, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar kini menjadi keutamaan jawatankuasa Kabinet bagi memastikan pergerakan lancar orang ramai dan barangan.

“Pintu masuk Johor-Singapura kini antara yang tersibuk di dunia, jadi kita tidak boleh lagi terikat dengan sistem lapuk atau kaedah lama menguruskannya,” katanya.

Johor Dipilih Sebagai Venue

Sementara itu, beliau berkata Johor dipilih sebagai venue konvensyen untuk menggerakkan semula jentera gabungan, kerana negeri itu antara yang dijangka menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat.

Beliau menambah semua isu dan mesej yang dibangkitkan perwakilan semasa konvensyen akan menjadi panduan bagi Majlis Presiden dalam menentukan strategi dan hala tuju politik gabungan.

Beliau juga mengingatkan jentera parti supaya memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat bagi mengelakkan jurang antara pencapaian pentadbiran dengan pemahaman di peringkat akar umbi. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga